Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah Covid-19 cases
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebanyak 11 Kluster Covid-19 baharu dikenalpasti hari ini dengan antaranya membabitkan majlis pengebumian yang dikesan di beberapa daerah di Melaka, Johor dan Selangor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster itu adalah Kluster Kampung Gedang itu membabitkan Alor Gajah dan Melaka Tengah di Melaka; Petaling di Selangor serta Johor Bahru di Johor.

“Kes indeks kluster ini seorang wanita warganegara berusia 61 tahun dari Kampung Gedang, Alor Gajah yang dilaporkan positif Covid-19 pada 25 Februari hasil saringan individu bergejala.

“Kes mula bergejala pada 16 Februari dan kluster ini membabitkan sebuah majlis pengebumian yang berlangsung pada 14 Februari lalu.

“Nama kluster merujuk kepada lokaliti penularan kes yang dilaporkan berlaku iaitu di Kampung Gedang, Alor Gajah, manakala 35 daripada 86 individu disaring, dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr Noor Hisham menambah, turut dikesan satu kluster membabitkan pusat jagaan warga emas iaitu Kluster Jalan Anak Gasing, di Petaling, Selangor membabitkan kes indeks seorang wanita berusia 88 tahun yang mula bergejala pada 19 Februari lalu dan dilaporkan positif pada 27 Februari hasil saringan individu bergejala.

Dr Noor Hisham berkata, sembilan kluster lagi yang dilaporkan hari ini adalah berkaitan tempat kerja iaitu, Jalan Perubatan, Tapak Bina Jalan MP, Balakong Satu dan Jalan Utarid di Selangor; Jalan DPB Lima di Johor; Jalan Bachok di Kelantan; Jalan PKNK 1/6 di Kedah dan Sri Jelutung di Pahang serta Jalan Sikamat Lama di Negeri Sembilan.

Kesemua 11 kluster baharu menyumbang kepada 1,163 kluster jangkitan COVID-19 yang dikesan di negara ini.

Beliau berkata, sehingga kini, sebanyak 676 kluster diisytiharkan tamat, termasuk 13 kluster pada hari ini iaitu Kluster Usaha, Kluster Jalan Timah Dua, Kluster Bukit Sekubong, Kluster Jalan Kinabenua, Kluster Tapak Bina Presint Tujuh, Kluster Jalan Sejahtera, Kluster Jalan Sulaman, Kluster Jalan Menerung, Kluster Tapak Bina Sri Petaling, Kluster Jalan Keluli, Kluster Kebor Air, Kluster Jalan Rantau-Siliau dan Kluster Seri Lanang.

Tambah Dr Noor Hisham, setakat ini sebanyak 487 kluster masih lagi aktif.

Katanya, sebanyak 74 kluster mencatatkan pertambahan kes baharu hari ini dan kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Batu Empat dengan 198 kes, manakala Kluster Jalan Pelabuhan (128), dan Kluster Jalan DPB Lima adalah 32 kes. – MalaysiaGazette