Legenda bola sepak Brazil Pele menyifatkan pengalaman disuntik vaksin COVID-19 sebagai "sukar dilupakan" dan meminta kerjasama global untuk menamatkan pandemik itu.-Pix agensi.

RIO DE JANEIRO – Legenda bola sepak Brazil Pele menyifatkan pengalaman disuntik vaksin COVID-19 sebagai “sukar dilupakan” dan meminta kerjasama global untuk menamatkan pandemik itu.

Pele, 80, menerima vaksin pada Selasa, kira-kira enam minggu selepas Brazil memulakan kempen vaksinasi, lapor Agensi Berita Xinhua.

“Hari ini adalah hari yang tidak dapat dilupakan. Saya menerima vaksin.

“Pandemik belum berakhir. Kita mesti terus berdisiplin untuk menyelamatkan nyawa kerana masih ramai yang belum divaksin. Ini akan berakhir jika kita saling mengambil berat dan membantu antara satu sama lain,” kata Pele di Instagram.

Pele yang kebelakangan ini mempunyai masalah kesihatan, menjalani kuarantin kendiri sejak COVID-19 diumumkan sebagai pandemik pada Mac lalu.

Satu-satunya pemain yang memenangi tiga Piala Dunia, Pele dianggap antara bintang bola sepak terhebat. Pada 2000, beliau berkongsi penghargaan sebagai pemain terbaik FIFA abad ke-20 dengan Diego Maradona dari Argentina, yang meninggal dunia pada November lalu pada usia 60 tahun.- BERNAMA