Bruno Suzuki.

KUALA LUMPUR – Bakal memasuki musim kelima berkelana di bumi Malaysia, Bruno Suzuki berharap tuah akan bersamanya dengan pasukan ketiga yang akan diwakili di Liga Malaysia iaitu PDRM FC.

Mengakui sangat kecewa dengan persembahan pada musim 2020, Bruno akui sangat bersyukur kerana seolah-olah diberi peluang kedua untuk membuktikan kembali prestasi yang pernah dipamerkan beberapa musim lalu.

Justeru, beliau berharap mampu membalas jasa PDRM FC dengan meletakkan sasaran meledak lebih daripada 10 jaringan pada musim ini dan seterusnya meletakkan ‘Sang Saka Biru’ antara pencabar di saingan Liga Premier.

“Apa yang berlaku musim lalu, saya mahu segera lupakan apabila prestasi saya agak menjunam sebaik liga kembali bersambung selepas beberapa bulan ditangguhkan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya juga turut mendapat kecederaan dan itu memberikan kesan secara keseluruhan kepada prestasi apabila saya hanya mampu menjaringkan dua gol walaupun pasukan musim lalu mengakhiri saingan selaku naib juara Liga Premier.

“Berdasarkan suasana baharu di sini, harap segalanya akan berubah terutama dalam mencari semula prestasi dan saya mahu ucapkan terima kasih kepada PDRM yang masih mempercayai kemampuan saya.

“Diharapkan permulaan musim ini segala-galanya akan memihak kepada saya seperti dapat menjaringkan gol dalam beberapa perlawanan awal yang secara tidak langsung akan membina semula keyakinan dalam diri ini bagi membantu pasukan meraih kedudukan yang dihormati di liga, ” katanya kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) di simi.

Berasal dari Brazil, Bruno yang mempunyai kerakyatan Jepun sebelum ini pernah meraih tumpuan peminat pada musim 2017 apabila menjaringkan 11 gol dalam 19 perlawanan semasa bersama Negeri Sembilan di pentas Liga Premier.

Tiga musim bersama TFC II selain pernah digunakan TFC dalam saingan Liga Super pada 2018, Bruno melalui dua musim yang sederhana namun 2020 menjadi antara detik paling sukar buat penyerang berusia 31 tahun itu.

Selain Bruno, PDRM mengikat tiga import dari benua Afrika iaitu bekas penyerang Pahang dan Kelantan, Lazarus Kaimbi(Namibia) serta Victor Kamhuka (Zimbabwe) dan Alexander Amposah (Ghana).

Antara pemain import yang mengikut jejak langkah Bruno bermain di sini buat musim kelima berturut-turut ialah Nicolas Fernandez (JDT II), Paulo Josue (KL United FC) dan Leandro Dos Santos (Perak FC)

Dalam pada itu, Bruno menjelaskan beliau teruja dapat bekerjasama dengan jurulatih berpengalaman, Mat Zan Mat Aris, yang disifatkan kaya dengan ilmu serta bersikap terbuka dengan pemain.

“Saya cukup senang dapat bekerja dengan Mat Zan yang saya lihat ada cara tersendiri dalam menangani pemain dan saya difahamkan reputasinya agak tinggi di saingan Liga Malaysia.

“Dalam latihan serta perlawanan yang dilalui, beliau sentiasa tegas namun tahu bila masa yang sesuai untuk berbincang dengan pemain jika ada sebarang masalah.

“Biarpun pasukan ini mungkin tidak terdiri daripada pemain bintang, saya lihat pemain muda dalam pasukan ini begitu bersemangat dalam sesi latihan dan sanggup bekerja keras demi pasukan,“ katanya.

PDRM FC akan membuka tirai saingan Liga Premier bertemu Selangor 2 pada 6 Mac, jam 9 malam di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette