Kakitangan sibuk melakukan kerja-kerja persiapan di Laman Pengantin Zarlith berikutan majlis perkahwinan dibenarkan beroperasi semula dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula pada 5 Mac ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 03 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Para pengusaha industri perkahwinan di negara ini akhirnya menarik nafas lega selepas kerajaan memberi kebenaran kepada mereka untuk kembali beroperasi bermula 5 Mac.

Presiden Persatuan Pengusaha Majlis Perkahwinan Malaysia (PPMPM), Zarinah Mohiden berkata, pengumuman semalam amat ditunggu-tunggu kerana ia memberi impak yang besar terhadap industri berkenaan.

Presiden Persatuan Pengusaha Majlis Perkahwinan Malaysia (PPMPM), Zarinah Mohideen.

“Terima kasih kepada kerajaan terutamanya Perdana Menteri, Menteri Kanan Keselamatan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan segala agensi terlibat kerana memberi kebenaran untuk majlis-majlis perkahwinan dijalankan semula dengan kapasiti 50 peratus keseluruhan kehadiran.

“Kami sangat terharu, bersyukur dan gembira kerana industri ini dapat kembali beroperasi dan dapat menghela nafas lega dengan pengumuman tersebut.

“Kami juga berharap pengumuman pembukaan industri perkahwinan ini dapat memberi sinar baharu kepada semua pengusaha pengurusan acara, katering, kanopi mahupun kontrak,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Zarinah, selepas hampir setahun mereka bertarung nasib demi kelangsungan industri akhirnya kerajaan sudi mendengar rintihan hati para pengusaha.

Katanya, para pengusaha sedaya upaya akan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh MKN dan memastikan tiada pelanggaran SOP berlaku.

Pada 26 Februari lalu, puluhan pengusaha berkumpul di Dataran Putra, Putrajaya untuk menghantar memorandum ke Pejabat Perdana Menteri merayu supaya industri perkahwinan di negara ini dapat dibuka semula.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi sidang media mengumumkan majlis rasmi dan tidak rasmi yang melibatkan kenduri, majlis perkahwinan, pertunangan, majlis akikah, doa selamat sambutan ulang tahun dibenarkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP). – MalaysiaGazette