Datuk Seri Mahdzir Khalid (dua dari kanan) pada Program Ceria ke Sekolah TNB di Menara JKP di sini hari ini.

GEORGE TOWN – Datuk Seri Mahdzir Khalid menyifatkan kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah mengenai penolakan kerjasama antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan UMNO imerupakan pandangan peribadi.

Sebaliknya, Naib Presiden UMNO itu menjelaskan Majlis Tertinggi UMNO mempunyai pandangan dan keputusan tersendiri berhubung perkara yang dibangkitkan itu.

“Itu pandangan peribadi dia (Ku Li). Parti ada keputusan sendiri. Kita tak salahkan dia (Ku Li). Terima kasih di atas pandangan beliau mengenai perkara itu namun parti ada pandangan peribadi sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Ceria Ke Sekolah TNB di Menara JKP di sini hari ini.

Semalam Ku Li dalam satu hantaran di Facebooknya berkata, Majlis Tertinggi UMNO mesti mengadakan mesyuarat tergempar dalam membuat keputusan kerjasama dengan Bersatu mengikut semangat dan kehendak perwakilan 147 bahagian.

Tambahnya, UMNO perlu membuat keputusan supaya semua ahli wajib mengundi menolak pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga ketua Kerajaan Perikatan Nasional.

Selain itu Ku Li turut menggesa UMNO membuat keputusan dengan meminta ahli-ahli Parlimen semua parti komponen Barisan Nasional turut sama mengundi menolak kepimpinan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sebelum Parlimen dipanggil bersidang. – MalaysiaGazette