Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed menunjukkan bekalan syabu yang dirampas polis pada sidang media di Ibupejabat Polis Selangor, Shah Alam. Foto SHAFIY ZUL, 03 MAC 2021

KUALA LUMPUR – Rangkaian penyeludupan dadah dari negara Thailand menerusi Pantai Timur ke Lembah Klang yang aktif sejak awal tahun ini akhirnya kecundang.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya berjaya menahan tiga suspek tempatan disyaki ahli sindiket tersebut.

Ahli sindiket berkenaan dikatakan menerima bayaran lumayan setinggi RM10,000 untuk sekali penghantaran bekalan dadah kepada penerima di pantai barat.

“Bertindak atas risikan, pemerhatian dan maklumat, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor pada 26 Februari lalu 9 pagi hingga 1 tengahari melakukan tiga serbuan di Serdang dan Ampang Jaya.

“Dalam serbuan pertama di Puchong Serdang, pasukan berjaya merampas satu bag kanvas yang mengandungi 10 bungkusan plastik disyaki dadah dalam kereta Naza Citra yang diparkir di tempat letak kereta awam sebelum berjaya menahan seorang lelaki tempatan.

“Dalam serbuan kedua, kami berjaya menahan dua suspek lelaki tempatan yang berperanan sebagai transporter atau penghantar bekalan terlarang itu di hadapan sebuah rumah di Serdang.

“Kemudian berbekalkan maklumat itu, polis melakukan serbuan ketiga di Pandan Indah yang akhirnya membawa kepada penemuan tiga beg kanvas yang mengandungi 60 bungkusan syabu di dalam sebuah kereta Perodua Myvi yang diparkir di hadapan sebuah rumah,” katanya dalam sidang media hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, tambah Arjunaidi, kesemua rampasan dadah itu berjumlah RM3.1 juta dengan anggaran seberat 69 kilogram.

Menurutnya, ia boleh diagihkan kepada 138,130 penagih dengan 0.5 gram setiap seorang.

“Hasil risikan dan siasatan awal mereka aktif sejak awal tahun ini untuk pasaran Lembah Klang dan dua transporter itu berperanan membawa bekalan dari Thailand menggunakan kereta melalui sebuah negeri di Pantai Timur untuk menyerahkan kepada suspek ketiga yang merupakan penerima dan ejen yang akan mengedar dan menjual kepada pelanggan di Lembah Klang.

“Untuk sekali penghantaran barang, transporter itu menerima bayaran lumayan RM10,000 bagi memastikan mereka aktif dan berani membawa bekalan menggunakan kereta menerusi jalan darat.

“Kesemua suspek berusia 25 hingga 38 tahun itu juga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau manakala dua transporter itu positif methaphetamine dan amphetamine.

“Polis juga memperhebatkan siasatan untuk menjejaki saki-baki suspek ahli rangkaian dadah itu dan dalam kes ini dan tiga suspek itu ditangkap di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama tujuh hingga 5 Mac ini,” tegasnya.-MalaysiaGazette