foto: TLDM

LUMUT – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memberi keutamaan kepada anggota yang terlibat dalam operasi khas Op Benteng dan Op Penawar sebagai penerima suntikan vaksin Fasa Pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, bermula hari ini.

Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Muhamad Ridzwan Abdul Rahman berkata, ini kerana kesemua anggota terbabit adalah lebih terdedah dan berisiko menerima jangkitan COVID-19 semasa bertugas.

Beliau berkata, bagi fasa pertama, seramai 800 pegawai dan anggota daripada jumlah keseluruhan lebih 5,000 orang di pangkalan TLDM itu akan diberikan suntikan awal manakala selebihnya secara berperingkat.

“Bagi fasa pertama ini, keutamaan diberikan kepada anggota yang lebih terdedah seperti anggota di kapal dan sekatan jalan raya dalam Op Benteng dan Op Penawar selain anggota markas yang mengendalikan bilik operasi dan komunikasi,” katanya.

Muhamad Ridzwan berkata demikian selepas menjadi penerima pertama vaksin itu selain 35 pegawai kanan TLDM serta anggota yang terbabit dalam penugasan Op Benteng dan Op Penawar.

Kesemua pegawai dan anggota menjadi kumpulan pertama penerima suntikan vaksin di 96 Hospital Angkatan Tentera Lumut (96 HATL) di Pangkalan TLDM Lumut di sini hari ini.

Muhamad Ridzwan berkata, sehingga kini, tiada anggota yang dikecualikan daripada menerima suntikan vaksin itu dan bagi yang berpenyakit kronik, suntikan akan diberikan kemudian bagi memastikan pemberiannya adalah selamat.

“Kita jangka proses suntikan bagi fasa pertama ini akan selesai dalam tempoh tiga bulan ini tetapi kalau boleh, kita mahu percepatkan mungkin ia boleh dihabiskan dalam masa sebulan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Memerintah 96 HATL, Brigadier Jeneral Dr Faizal Baharuddin berkata, HATL merupakan pusat simpanan dan pemberian vaksin kepada anggota TLDM yang berkhidmat di zon utara.

“Hospital di dalam pangkalan tiada apa-apa isu dari segi keselamatan. Di peringkat hospital, kami ada kakitangan yang memang ditugaskan 24 jam untuk pastikan tidak berlaku apa-apa kepada stok simpanan vaksin kita,” katanya. – Bernama