Seorang kakitangan barisan hadapan menerima suntikan vaksin semasa Program Imunisasi Covid-19 di Hospital UiTM Sungai Buloh. Foto HAFIZ SOHAIMI, 04 MAC 2021.

SUNGAI BULOH – Sebanyak  enam buah Hospital Pengajian Universiti (HPU) diberi tanggungjawab menjadi Pusat Pemberi Vaksin (PPV) fasa pertama dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Enam buah hospital itu adalah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia  (HCTM UKM), Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah UIAM (SASMEC) , Pusat Pakar Perubatan UiTM dan Hospital Pengajian UPM (HPUPM)

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, sehingga kini pemberian vaksin  di semua HPU berkenaan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat  sejak 25 Februari 2021.

Katanya, semua  HPU yang terlibat  telah mengendalikan kes pesakit dan ujian saringan Covid-19 sejak 2020.

“PPUM, HCTM UKM, HUSM dan SASMEC telah menerima penerima vaksin secara berperingkat pada 1 Mac. Pusat Pakar Perubatan UiTM pada 2 Mac dan HPUPM akan mula terima pada 15 Mac ini,” katanya ketika sidang media selepas melawat Program Imunisasi Covid-19 Hospital UiTM di Sungai Buloh di sini hari ini.

Menurut beliau,  semua HPU ini hanya akan berperanan sebagai PPV dan bukan Pusat Simpanan Vaksin (PSV) berikutan kekangan peti sejuk beku sedia ada.

“Walau bagaimanapun dimaklumkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membekalkan tiga buah peti sejuk  top loading kepada SASMEC  serta sebuah peti sejuk  dan empat buah cool box kepada HPUPM pada Mac 2021 bagi tujuan simpanan vaksin masing-masing,” katanya lagi.

Terdahulu beliau memaklumkan, sehingga kini 22,018 dos vaksin telah diperuntukkan oleh KKM bagi kegunaan petugas barisan hadapan enam HPU terbabit.- MalaysiaGazette