Salah seorang bekas pelajar UPSI, Ismail Muhamad Zain diangkat sebagai Ikon Anak Kandung Suluh Budiman (AKSB) dalam sebuah majlis penyampaian sijil penghargaan di Kampus Sultan Azlan Shah, Perak, hari ini.

KUALA LUMPUR – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini  menerusi pusat alumninya mengiktiraf salah seorang bekas pelajarnya sebagai Ikon Anak Kandung Suluh Budiman (AKSB).

Pelajar terbabit, Ismail Muhamad Zain, 40, menerima pengiktirafan dalam sebuah majlis penyampaian sijil penghargaan di Kampus Sultan Azlan Shah, Perak.

Menurut satu kenyataan UPSI, Ismail baru-baru ini menjadi tumpuan masyarakat selepas gelagat guru itu membersihkan sampah sebagai rutin harian di kawasan Sungai Balun yang terletak di Slim River tular di media sosial pertengahan bulan Februari lalu.

“Selain mendapat tumpuan media, perkhabaran prihatinnya alumni AKSB era UPSI yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak ini turut mendapat perhatian pihak Istana Perak.

“Ia apabila Sultan Nazrin Muizzudin Shah berkenan menzahirkan titah penghargaan kepadanya pada 15 Februari lalu,” tambah kenyataan yang sama.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Datuk Prof Dr. Md Amin Md Taff menyatakan pengiktirafan Ismail sebagai Ikon Alumni Anak Kandung Suluh Budiman dilihat amat tepat kerana bekas pelajar tersebut memberi impak positif kepada masyarakat.

“Tindakan murni Cikgu Ismail bukan sahaja membuka mata ramai pihak atas ketulusan hatinya yang prihatin terhadap alam sekitar bahkan beliau telah memartabatkan profesion perguruan apabila hari ini ada saja pihak cuba memperlekehkan kerjaya guru yang mulia ini.

“Atas kecemerlangannya, penyerahan sijil penghargaan Ikon Alumni AKSB kepada Cikgu Ismail diharapkan dapat memberi inspirasi kepada seluruh warga universiti dan alumni, sekaligus menyemarakkan semangat sambutan seratus tahun Universiti Pendidikan Sultan Idris yang akan berlangsung pada tahun 2022 nanti,” jelasnya. -MalaysiaGazette