Foto Instagram Rita Rudaini.

KUALA LUMPUR – Selama tujuh tahun menjadi ibu dan bapa kepada dua anak lelaki, pelakon Rita Rudaini Rita tampil berkongsi pengalaman dan kekuatan bersama golongan ibu tunggal senasib dengannya.

Menerusi perkongsian di Instagram itu, Rita turut mengajak ibu tunggal di luar sana menikmati dengan nikmat yang Allah berikan.

Kata wanita yang bakal menginjak usia 45 tahun bulan depan, Allah tahu mereka yang dipilih menjadi ibu tunggal mampu hidup tanpa lelaki.

“Kenapa Allah pilih kita jadi ibu tunggal? Sebab Allah tahu kita mampu hidup tanpa lelaki. Allah tahu kita kuat. Allah takkan uji di luar kemampuan kita. Kenapa Allah tarik suami dari hidup kita? Sebab Allah sayang kita dan tak nak kita bersedih.

“Kenapa saya masih sendiri hingga sekarang? Kerana saya tengah menikmati hadiah daripada-Nya. Yang tak ada sesiapa pun dapat rasa dan nampak nikmat yang Allah beri kepada kami. Hanya kami saja yang dapat rasa,” tulisnya.

Sementara itu, Rita turut mengajak ibu tunggal di luar sana supaya tidak terus bersedih dan bangkit meneruskan kehidupan.

Wanita kelahiran Perlis itu turut berpesan kepada wanita yang masih bersuami supaya sentiasa beringat bahawa suami dan anak-anak hanyalah pinjaman di dunia sahaja.

“Yang ada suami, tak payah ‘galak’ nak jadi ibu tunggal pulak. Masing-masing ada bahagian masing-masing.

“Tapi, kena ingat. Suami dan anak-anak itu hanya pinjaman saja. Tak payah sombong sangat, ‘Aku berlaki, kau ada?’, ‘Laki aku sayang aku’,” tulisnya.

Rita kini membesarkan dua anaknya iaitu Airit Rayyan Rizqin, 12, dan Airit Qaqa Arjuna, 10. – MalaysiaGazette