Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengambil beberapa tindakan dalam usaha menyelesaikan masalah capaian aduan Internet yang dihadapi oleh penduduk di seluruh negara.

Kesukaran seorang pelajar remaja perempuan Orang Asli suku Mah Meri di Kampung Orang Asli Sungai Belankan Tanjong Sepat, Kuala Langkat untuk mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) disebabkan capaian Internet lemah telah disiasat.

Hasil siasatan yang dijalankan mendapati, kedudukan rumah pelajar berkenaan di Kampung Sungai Belankan terletak jauh terpencil di penghujung kampung.

Satu ujian liputan telah dijalankan pada akhir Februari lalu dan didapati kualiti liputan selular di rumah pengadu adalah tidak memuaskan.

Sebagai penyelesaian jangka panjang, sebuah menara komunikasi yang terletak berhampiran di kawasan rumah pengadu akan dinaik taraf kepada 4G di bawah pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang bakal bermula pada suku ke-2 2021.

Manakala masalah kesukaran pelajar Orang Asli di Kampung Orang Asli Lakai Jelebu juga ditangani selepas siasatan dijalankan di kawasan berkenaan baru-baru ini.

SKMM mendapati kawasan berkenaan tidak mempunyai capaian Internet 4G, lantaran itu penggunaan teknologi VSAT (Very Small Aperture Terminal) akan dilaksanakan dan dijangka siap pada hujung tahun 2021.

Inisiatif ini akan dapat memberi manfaat capaian Internet di kawasan aduan kelak.

Sementara itu, masalah capaian Internet di Projek Perumahan Rakyat Melana Indah akan ditangani sebagai penyelesaian jangka pendek.

Usaha untuk memperbaiki pengoptimuman kekuatan isyarat akan dilakukan dan dijangka selesai dalam suku pertama 2021.

Bagi penyelesaian jangka panjang pula, syarikat penyedia perkhidmatan di kawasan berkenaan akan menambah
jalur spektrum 4G bagi meningkatkan capaian Internet di kawasan tersebut.

SKMM berkata, bagi menangani capaian Internet di Kampung Sungai Chengkeh, Serkat Pontian pula, Celcom dan U Mobile telah
melakukan kerja-kerja penambahbaikan pada pencawang pada 24 Februari lalu bagi meningkatkan kualiti liputan 4G di kawasan yang dilaporkan.

Kerja-kerja penambahbaikan berkenaan dijangka siap pada minggu ketiga bulan Mac 2021.

Untuk penyelesaian jangka panjang pula, sebuah menara baharu akan dibina di bawah pelan JENDELA dan kerja-kerja pembinaan menara akan bermula pada hujung tahun 2021. – MalaysiaGazette