Bangunan Bank Negara Malaysia di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus.

Pemulihan ekonomi global semakin rancak meskipun tidak sekata, disokong oleh peningkatan yang stabil dalam aktiviti perkilangan dan perdagangan.

MPC berkata, program pemberian vaksin yang sedang dilaksanakan di banyak negara, bersama-sama dengan sokongan dasar, akan terus membantu menambah baik keadaan permintaan swasta dan pasaran tenaga kerja.

Meskipun pasaran kewangan telah mengalami volatiliti, keadaan kewangan terus menyokong kegiatan ekonomi. Risiko terhadap prospek pertumbuhan telah berkurang sedikit, tetapi terus cenderung ke arah pertumbuhan menjadi lebih perlahan.

Hal ini disebabkan terutamanya oleh ketidakpastian berhubung dengan pandemik COVID-19 dan keberkesanan program pemberian vaksin.

Bagi Malaysia, penunjuk terkini menunjukkan permintaan luaran bertambah baik dan perbelanjaan pengguna berterusan.

”Walaupun pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan akan menjejaskan pertumbuhan pada suku pertama, kesannya dijangka tidak seteruk yang dialami pada suku kedua tahun 2020,” katanya dalam kenyataan di sini.

Pada masa hadapan, pertumbuhan diunjurkan meningkat mulai suku kedua dan seterusnya.

Keadaan ini didorong oleh pemulihan permintaan global, peningkatan perbelanjaan sektor awam dan swasta berikutan sokongan yang berterusan daripada langkah-langkah dasar serta langkah-langkah pembendungan yang lebih bersasar.

Menurutnya, pertumbuhan juga akan disokong oleh pengeluaran yang lebih tinggi daripada fasiliti sedia ada dan baharu dalam sektor perkilangan, khususnya dalam subsektor elektrik dan elektronik (E&E) dan subsektor berkaitan sumber, serta loji pengeluaran minyak dan gas.

Program pemberian vaksin Covid-19 dalam negeri juga akan meningkatkan sentimen dan kegiatan ekonomi.

Walau bagaimanapun, prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan ekonomi menjadi rendah.

Keadaan ini, katanya, berpunca terutamanya daripada ketidakpastian yang berterusan mengenai perkembangan yang berkaitan dengan pandemik serta cabaran yang akan dihadapi yang boleh menjejaskan pemberian vaksin pada peringkat global dan dalam negeri.

Purata inflasi keseluruhan pada tahun 2021 diunjurkan lebih tinggi disebabkan terutamanya oleh harga minyak yang meningkat.

”Dari segi trajektori, inflasi keseluruhan dijangka naik mendadak untuk sementara waktu pada suku kedua tahun 2021 disebabkan oleh asas yang lebih rendah daripada harga runcit bahan api dalam negeri yang rendah pada suku yang sama tahun 2020, sebelum menjadi sederhana.

”Inflasi asas dijangka kekal rendah dalam keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi. Walau bagaimanapun, prospek ini bergantung pada perkembangan harga minyak dunia dan komoditi,” ujarnya.

MPC menyifatkan pendirian dasar monetari adalah wajar dan akomodatif berikutan keadaan pandemik yang terus tidak menentu, pendirian dasar monetari pada masa hadapan akan terus ditentukan oleh data dan maklumat baharu, serta kesannya kepada prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

Namun, katanya, Bank Pusat itu terus komited untuk menggunakan alat-alat dasarnya yang bersesuaian bagi mewujudkan keadaan yang menyokong pemulihan ekonomi yang berterusan.- MalaysiaGazette