Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Razali Samah (kiri) berbual mesra ketika mengadakan lawatan kebajikan ke rumah pesara polis, Lim Tee Siang di Taman Seri Serdang, Selangor. Foto FIKRI YAZID 4 MAC 2021.

SERDANG – Pantang undur dan kena berani dalam menjalankan tugas.

Itu perkara yang menjadi pegangan kepada pesara polis, Lim Tee Siang ketika beliau mula-mula menyarungkan pakaian seragam anggota pihak berkuasa kira-kira 64 tahun lalu.

Beliau merupakan salah seorang anggota yang terbabit dalam menumpaskan Botak Chin dan ‘Bentong Kali’ satu ketika dahulu dan merupakan penjenayah terkenal dengan kekejaman mereka di negara ini.

Menjangkau usia 84 tahun, Tee Siang memulakan tugas sebagai anggota polis pada tahun 1957 sebelum bersara sebagai Sub Inspektor di Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Berkongsi pengalamannya, beliau berkata, ketika operasi menumpaskan kedua-dua penjenayah itu pada tahun 1976 dan tahun 1993, beliau merupakan detektif yang ditugaskan untuk mengumpulkan maklumat sebelum pihak berkuasa bertindak.

“Saya tak boleh dedahkan banyak perkara tapi apa yang berlaku tetap dalam ingatan. Semua itu menjadikan saya semakin kuat, berani dalam menjalankan tugas,” katanya lagi.

Beliau ditemui selepas menerima kunjungan Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah pada program lawatan kebajikan ke rumah pesara pegawai dan anggota polis di Taman Sri Serdang hari ini.

Menceritakan lanjut, Tee Siang berkongsi sejarah dirinya apabila menahan perompak yang mengacukan dua pucuk pistol ke arahnya yang pada ketika itu tidak bersenjata.

Berbekalkan keberanian dan tekad untuk menumpaskan penjenayah terbabit tanpa terfikir natijah yang akan diterimanya.

Jelas beliau, apa yang bermain difikirannya ketika itu adalah mahu menangkap penjenayah yang ada di depan matanya tanpa menyebabkan pertumpahan darah membabitkan orang awam.

“Kita (polis) kena berani lawan dia (penjenayah)… Saya harap anggota polis yang masih berkhidmat perlu terus bersungguh-sungguh dalam menyelesaikan kes yang mereka dikendalikan,” katanya.

Dengan keberaniannya itu, beliau dianugerahkan dengan 56 surat kepujian atas segala jasa yang disumbangkan kepada pasukan polis dan negara.

Beliau turut menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada pihak IPD Serdang yang menyantuninya meskipun beliau kini hanyalah orang awam.

Seorang lagi pesara polis ketika zaman darurat, Dahali Zakaria, 88, yang turut dikunjungi terharu dengan kehadiran pegawai dan anggota polis  yang bukan sahaja bertanya khabar sebaliknya mahu mendapatkan nasihat daripada orang-orang lama  sepertinya.

Beliau yang berkhidmat sebagai anggota polis dari tahun 1948 hingga 1954 memberitahu, meskipun tidak pernah berhadapan dengan komunis namun beliau turut merasai kesan kekejaman pengganas itu.

Katanya, ramai rakan-rakan sepasukannya terkorban angkara keganasan komunis selain menyaksikan sendiri kesan insiden serangan Bukit Kepong pada tahun 1950.

Ketua Polis Daerah, Serdang ACP Razali Samah menyerahkan sumbangan ketika lawatan kebajikan ke rumah petugas polis era darurat, Dahali bin Zakaria, 88 di Pangsapuri Enggang Kinrara. Foto FIKRI YAZID, 4 MAC 2021.

“Masa itu semua perasaan ada, geram dengan komunis, marah kerana disebabkan mereka, ramai yang tidak berdosa meninggal dunia,” katanya.

Terdahulu, Razali mengunjungi tiga pesara polis dan seorang balu kepada anggota polis yang meninggal dunia akibat serangan jantung di sekitar Serdang.

Menurut Razali, kunjungan yang dibuat sebagai menyantuni pesara polis terdahulu selain mahu belajar daripada pengalaman mereka yang boleh dijadikan pedoman agar dapat menaikkan semangat untuk berbakti kepada negara.

Ujarnya, hasrat itu sememangnya telah lama hendak dilaksanakan namun ianya terhalang berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kata beliau, seramai 76 pesara polis dikenalpasti di daerah Serdang dan beliau berharap agar kesemua mereka tidak kekok untuk berhubung dengan balai-balai terdekat sekiranya memerlukan bantuan.

“Hasrat kami supaya mereka ini rasa dihargai kerana mereka sangat berharga kepada kita dan pernah berkorban untuk negara dan pasukan,” katanya. – MalaysiaGazette