Gambar hiasan.

SEPANG – AirAsia dan beberapa pakar penerbangan dan pelancongan menyarankan protokol perjalanan di peringkat global yang selaras untuk memacu pemulihan perjalanan udara di peringkat antarabangsa.

Presiden AirAsia Group (Penerbangan) Bo Lingam berkata, Covid-19 telah menjejaskan ramai orang terutamanya dalam industri pelancongan dan perhotelan.

Untuk meneruskan perjalanan rentas sempadan dengan efektif dan selamat, syarikat penerbangan memerlukan rangka kerja yang dipersetujui bersama dan diselaraskan di peringkat global.

“Kini, keperluan perjalanan di rantau ini bukan sahaja kompleks dan tidak seragam, malah gelembung perjalanan juga terhad dan tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Kami menyambut baik pas perjalanan tertentu yang diperkenalkan atau masih dalam tahap ujian, tetapi apa yang diperlukan untuk kembali memacu perjalanan udara antarabangsa adalah penyelarasan antara negara.

”Industri perjalanan dan pelancongan harus bekerjasama melaksanakan satu set protokol dan prosedur tetap untuk para tetamu seperti keperluan ujian dan vaksinasi, pas kesihatan digital yang dipersetujui bersama dan pengembangan gelembung perjalanan merangkumi sektor pelancongan rekreasi.

“Kita harus bekerjasama untuk memacu perjalanan udara dan menyambut penerbangan antarabangsa dalam masa terdekat akan datang, yang juga memberi sumbangan yang amat diperlukan untuk ekonomi di peringkat global,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tinjauan AirAsia baru-baru ini mengenai prosedur dan protokol Covid-19 di negara-negara serantau seperti Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina, China dan Australia mengesahkan bahawa keperluan perjalanan adalah berbeza di seluruh rantau Asean, menyukarkan pelancong untuk memahami dan mengikutinya.

Protokol perjalanan berbeza di negara-negara lain di rantau ini juga menyulitkan operasi syarikat penerbangan dan pengendali pelancongan.

Menurutya, Tanpa protokol perjalanan yang diselaraskan, pengesahan dokumen kesihatan dan perjalanan secara manual akan memakan lebih masa dan mungkin terdedah kepada kesalahan dan penipuan, terutamanya dengan peningkatan penggunaan perakuan kesihatan palsu.

“Selain itu, kita menjangka 40%-50% rakyat di rantau ini akan divaksinasi pada suku tahun ketiga 2021. Justeru, polisi perjalanan harus diperbaharui secara berkala mengikut keadaan semasa termasuklah kemungkinan untuk membatalkan keperluan kuarantin. Contoh yang baik adalah di Filipina di mana mereka baru-baru ini telah menyelaraskan semua keperluan perjalanan di dalam negara dan memansuhkan peraturan yang tidak relevan,” tambah Bo.

Laporan tersebut juga menyimpulkan bahawa gelembung perjalanan yang kini dilaksanakan di rantau ini hanya terhad kepada pelancong perniagaan dan perjalanan penting sahaja.

Pelancong perniagaan tidak dapat melonjakkan industri pelancongan kerana kebanyakan mesyuarat korporat kini dapat dilakukan secara dalam talian.

Cadangan utama adalah untuk mengembangan gelembung perjalanan kepada pelancong rekreasi secara berperingkat bermula dengan destinasi di zon selamat. Pengembangan ini dijangka akan memberikan kesan segera berdasarkan permintaan yang tinggi.

Tambahan pula, katanya, risiko perjalanan dapat dikurangkan melalui pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat dan pelbagai langkah keselamatan termasuk perjalanan terkawal mengikut destinasi yang ditetapkan, jadual perjalanan tetap dan aplikasi pengesanan kontak.

AirAsia telah memperkenalkan inovasi terkini Scan2Fly, yang membolehkan para tetamu mengimbas dan memuat naik dokumen perubatan mereka semasa proses daftar masuk dalam talian bagi menentukan kelayakan untuk terbang dalam masa nyata sebelum mereka tiba di lapangan terbang.
Scan2Fly telah dilancarkan sebelum pasport digital diluluskan di peringkat global untuk menyokong matlamat AirAsia menyediakan pengalaman perjalanan yang selamat dan tanpa sentuhan.

Bo berkata, Scan2Fly juga boleh diintegrasikan dengan mudah di platform lain yang diluluskan di peringkat global dari negara berbeza berkenaan Covid-19 dan vaksin.

AirAsia juga bakal melancarkan teknologi pengecaman wajah biometrik di lapangan terbang utama, bermula dengan klia2 di Malaysia pada bulan April sebagai salah satu produk dan perkhidmatan baharu untuk menjadikan penerbangan lebih selamat dan lancar, ujar beliau. – MalaysiaGazette