Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi berkata, beliau akur dengan perintah injuksi ex parte (sebelah pihak) terhadapnya dan sedang dalam proses mendapatkan nasihat guaman.

Beliau yang percaya kepada sistem kehakiman negara akan membela diri di hadapan mahkamah selepas disaman oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

”Semalam saya telah mengambil maklum bahawa saya telah disaman oleh Perdana Menteri. Selain itu, terdapat satu perintah injuksi ex parti terhadap saya yang telah diberikan oleh Mahkamah. Saya akur akan perintah tersebut,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Tambahnya, sebagai menghormati mahkamah, beliau juga tidak akan mengeluarkan apa apa kenyataan lanjut berkenaan dengan saman untuk diadili oleh mahkamah.

Baru-baru ini Muhyiddin memperoleh perintah injunksi sementara bagi menghalang Mohd Puad daripada menerbitkan semula kenyataan fitnah membabitkan Perdana Menteri itu berhubung perintah kuarantin di akaun Facebook milik Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu.

Peguam Rosli Dahlan yang mewakili Muhyiddin berkata, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) dikemukakan Muhyiddin.

Dalam notis permohonan ex-parte difailkan bersama writ saman itu, Muhyiddin memohon perintah injunksi bagi menghalang Mohd Puad selaku defendan atau ejennya, wakilnya atau sesiapa saja daripada menerbitkan, menyiarkan dan berkongsi semula hantaran membabitkan kenyataan fitnah berhubung perkara itu menerusi akaun Facebook milik Mohd Puad.

Muhyiddin memfailkan permohonan atas alasan penghantaran dibuat Mohd Puad adalah palsu, memfitnah dan menyebabkan reputasi serta nama baik Perdana Menteri itu di Malaysia dan peringkat antarabangsa terjejas.

Muhyiddin berkata, permohonan itu perlu dibuat secara ex-parte kerana jika notis diberikan kepada defendan terdapat risiko defendan akan mensensasikan permohonan berkenaan menyebabkan pembaca akan berkongsi lanjutan hantaran berkenaan.- MalaysiaGazette