Muhammad Sanusi Md. Nor

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Mohd. Noor menegaskan beliau bukanlah seorang Menteri Besar yang rasis seperti mana tuduhan segelintir pihak terhadapnya.

Bahkan katanya, beliau melayan semua kaum di negeri itu sama rata dan ia tidak terkecuali terhadap kaum India di negeri tersebut.

“Isu tiada cuti Thaipusam, ia bukannya cuti umum, ia cuti peristiwa di mana ia bukan satu yang kekal seperti mana cuti Deepavali, Hari Raya, malah tahun sebelum ni pun di Kedah perayaan Thaipusam tidak diberi cuti, kenapa masa tu tak mahu bantah, tak mahu ‘bising’?

“Tahun 2021 kita sedang berada dalam PKP, tak boleh nak beraya, tak boleh pikul kavadi, nak pergi ke kuil pun terhad, kena ada SOP, jadi bagi cuti pun tak ada makna,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata demikian dalam wawancara eksklusif program Owh!MG terbitan Malaysia Gazette semalam.

Mengenai tindakan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBSA) merobohkan Kuil Sri Raja Muniswarar di Taman Bersatu, Kuala Kedah baru-baru ini, Muhammad Sanusi menegaskan, setiap struktur dan bangunan yang hendak didirikan di Kedah perlu mendapat kelulusan.

Katanya, rumah ibadat seperti surau serta kuil juga tidak terkecuali daripada peraturan tersebut.

Justeru, katanya, adalah tidak adil bila tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) merobohkan kuil Hindu yang tidak mendapat kelulusan itu dilihat satu bentuk diskriminasi terhadap kaum India di negeri berkenaan.

“Dulu sebuah surau di Sungai Petani pun pernah dirobohkan kerana tak dapat kelulusan, jadi struktur lain termasuk kuil juga tertakhluk pada peraturan yang sama.

“Saya berada di sini untuk menegakkan undang-undang, saya tak boleh nak marah PBT yang jalankan tugas mereka, saya tak patut layan suara-suara mereka yang tak selari dengan undang-undang,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Menteri Besar Kedah itu berkata, dalam pada beliau berhadapan dengan serangan dan fitnah kononnya beliau seorang yang rasis, beliau tetap menjalankan tanggungawab yang seadilnya kepada golongan bukan Melayu di negeri berkenaan.

“Baru-baru ini, PKNK beri kebenaran kepada SRJK (Tamil) Ladang Sungai Ular, Kulim untuk duduki tanah mereka secara percuma. Sebelum ini, pihak sekolah diarah bayar RM163,000 untuk duduki tanah itu. Sekarang, mereka hanya perlu perbaharui setiap tiga tahun dan kita beri mereka duduk percuma sahaja.

“Kita juga luluskan pembinaan sebuah kuil Hindu di Padang Serai yang dipohon secara teratur…kalau saya rasis, takkan saya luluskan (permohonan tersebut),” katanya.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Rasis sebab nakkan sesuatu yang bukan haknya seperti nakkan warganegara tempatan walhal ada hak warganegara dengan negara asalnya sendiri.

Comments are closed.