KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini berjaya menangani penularan Covid-19 dan menjaga kebajikan rakyat selepas setahun mengambilalih pucuk pimpinan negara.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini dibuktikan selepas dua minggu barisan menteri Kabinet mengangkat sumpah dan kerajaan dibentuk ketika pandemik mula menular di negara ini

Jelas beliau, kerajaan telah membuktikan mampu mengawal Covid-19 berbanding negara-negara lain apabila mampu melandaikan keluk kes tempatan kepada jumlah kosong pada tahun lalu.

“Dan daripada segi kebajikan kepada rakyat, dengan pengumuman PRIHATIN (Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat) dan PENJANA (Pelan Jana Semula Ekonomi Negara) selain tumpuan kerajaan kepada Covid-19 kerana kita kata lebih baik kehidupan dan membantu rakyat untuk meneruskan kehidupan.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap mengenai pencapaian Malaysia Prihatin Kementerian Pertahanan Malaysia di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur baru-baru ini. Foto AFFAN FAUZI.

“Kalau dulu waktu PENJANA kalau kita ingat, waktu PRIHATIN untuk mengelak daripada pembuang pekerja, pekerja dibayar gaji oleh kerajaan bagi RM600 seorang.

“Orang meniaga dan tidak mampu bayar gaji, dia ada dua pilihan, terus menggajikan orang dan bayar gaji tapi pendapatan kosong atau paling mudah buang sahaja pekerja.

“Jadi, kerajaan tidak mahu berlaku keadaan itu dan beri subsidi upah di mana kerajaan yang bayar gaji. Perniagaan mikro yang jual goreng dan nasi lemak di tepi jalan, mereka tidak boleh meniaga. Kerajaan beri RM3,000 seorang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada sekumpulan media sempena Wawancara Pencapaian Malaysia Prihatin Kementerian Pertahanan Malaysia di Wisma Pertahanan di sini baru-baru ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama calon calon Barisan Nasional (BN) ,Mohd Zaidi Aziz beramah mesra dengan peniaga pasar semasa sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N. 58 di Pekan Slim River, Perak pada Ogos tahun lalu. Foto AFFAN FAUZI.

Ismail Sabri menambah, Kerajaan PN turut berjaya menjaga kebajikan rakyat dari segi perniagaan kerana telah banyak memberi bantuan-bantuan kepada golongan peniaga.

Malah jelas beliau, terdapat perubahan dalam perniagaan oleh rakyat Malaysia apabila wabak Covid-19 berlaku sejak tahun lalu.

“Sekarang lebih ramai yang pandai dengan online (atas talia), semua benda online, jadi kita telah wujudkan usahawan baharu online dan gig economi yang melibat kerja sendiri yang banyak telah berkembang dan berjaya.

“Jadi kerajan membantu rakyat dari segi itu begitu juga dengan digital ekonomi yang diumumkan kerajaan baru-baru ini di mana lebih ramai yang akan terlibat.

“Kerajaan yang pertamanya berjaya mengawal keamanan negara tidak ada isu, negara lain berlaku rusuhan dan macam-macam di seluruh dunia.

“Seperti saya kata, kes Covid-19 berjaya dilandaikan dan daripada segi bantuan kepada rakyat yang susah berjaya diberikan bantuan,” katanya. – MalaysiaGazette