Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui dirinya bukan manusia yang sempurna dan tidak terlepas membuatkan kesilapan terutama ketika menyampaikan laporan perkembangan harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan isu pandemik Covid-19 di negara ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) berkata, sepanjang setahun lalu menjadi menteri yang muncul di kaca televisyen hampir saban hari – sudah pasti ada beberapa pengumuman yang dibuatnya menimbulkan rasa kesal dalam dirinya.

Jelas Ismail Sabri, sekiranya waktu boleh diputar kembali, beliau tidak akan mengumumkannya daripada awal jika mengetahui akan penerimaan negatif masyarakat selepas itu.

“Ada kesilapan-kesilapan yang kita buat kadang-kadang ada pengumuman yang tidak boleh diterima masyarakat. Waktu itu kita fikir sepatutnya kita tidak umum perkara itu.

“Benda-benda itulah kerana sudah tentu saya bukan manusia yang sempurna, mesti saya melakukan kesilapan, setiap pengumuman yang dibuat dapat komen yang baik daripada orang yang komen dan menyokong, dan kecaman daripada orang menentang, kerana meraka melihat apa yang saya buat tidak betul.

“Jadi saya perlu memikirkan kalaulah saya boleh tahu dari awal, saya tidak akan umumkan,” katanya.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap mengenai pencapaian Malaysia Prihatin Kementerian Pertahanan Malaysia di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur baru-baru ini. Foto AFFAN FAUZI.

Beliau berkata demikian kepada sekumpulan media sempena Wawancara Pencapaian Malaysia Prihatin Kementerian Pertahanan Malaysia di Wisma Pertahanan di sini baru-baru ini.

Ismail Sabri ditanya apa yang akan dilakukan sekiranya dapat mengubah keadaan selepas tahun mengendalikan pandemik Covid-19 di negara ini.

PENGALAMAN TAK BOLEH LUPA

Diminta berkongsi pengalaman yang tidak boleh dilupakannya, Ismail Sabri memberitahu, beliau sudah jadi lali dimaki setiap hari.

Namun akui Ahli Parlimen Bera itu, pengalaman yang menakutkannya apabila setiap kali bangun tidur dan menanti pukul 12 tengahari untuk menerima mesej daripada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah atau Menteri kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mengenai jumlah kes positif.

“Itu menakutkan saya, cuba bayangkan jumlah kes 3,000, 4,000 dan 5,000 lebih, sudah tentu sayalah yang paling takut kerana ianya juga melibatkan tugas saya untuk melandaikan kes Covid-19.

“Kalau tanya apa pengalaman menakutkan apabila melihat mesej yang mengatakan kes meningkat dengan tinggi dan keduanya apabila kes kematian meningkat.

“Itu juga pengalaman yang sukar lupakan kerana saya tahu orang yang meninggal dunia kerana Covid-19, satu perkara yang tidak boleh diterima sesiapa pun walaupun semua orang akan mati, kita akan mati, tapi kita faham bagaimana keluarga mangsa menghadapinya.

“Yang meninggal kerana Covid-19 adalah teruk, tidak boleh melawat, tidak boleh cium jenazah dan sebagainya. Kematian dan jumlah kes adalah perkara yang tidak boleh dilupakan,” katanya berterus-terang.

Ismail Sabri pada sidang media khas mengenai Covid-19 yang disiar secara langsung di TV1.

Ditanya bagaimana dia berdepan komen netizen setiap hari, Ismail Sabri mengakui sebagai ahli politik beliau sudah biasa dengan caci maki oleh segelintir individu.

BAJU JADI PERHATIAN

Namun beliau menghargai mereka yang gemar memujinya dan suka kelainan yang ditonjolkan atau pakaian yang dipakai pada sidang media harian.

“Maki memang ada tetapi sebagai ahli politik kita sudah biasa. Yang suka saya apa yang saya buat dipuji. Pakai baju herot pun dikata itu fesyen baharu. Itu orang yang suka saya.

Kemeja yang dipakai Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media harian menarik perhatian netizen.

“Tetapi orang yang tidak suka saya, setiap benda kecil akan bantai saya, jadi saya kena terima seadaanya, kerana saya tidak boleh jangka semua orang suka kita.

“Ada suka ada tidak suka. Kalau hendak seronok, baca yang suka. Kalau hendak rosak mood, baca yang serang saya tapi bagi saya setiap hari ada yang attack dan puji kita.

“Setengah itu, mungkin cara penyampaiannya tidak betul, tapi kadang-kadang benda yang bangkit adalah betul. Saya baca juga yang attack tetapi ianya berguna dan mungkin boleh untuk ubah SOP dan perkara yang tidak dibenar beroperasi,” katanya. – MalaysiaGazette