Muhammad Sanusi Md Nor-. Foto SYAFIQ AMBAK

KUALA LUMPUR – “Tidak ada sebab untuk saya luluskan permohonan baharu untuk membalak di negeri Kedah”, tegas Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Mohd Noor.

Menurutnya, sebagai contoh dari tempoh 2014 hingga 2020 sebelum beliau menjadi Menteri Besar, sebanyak 25,000 hektar kawasan pembalakan telah diluluskan di kawasan Ulu Muda.

Selain Ulu Muda, katanya, ada 50,000 hektar lagi kawasan pembalakan yang telah diluluskan untuk ditebang.

Namun menurutnya, dalam setahun, hanya 4,000 hektar kawasan yang boleh ditebang mengikut kuota yang diberikan oleh Jabatan Perhutanan dalam RMK-12.

“Dengan 75,000 hektar pembalakan yang diluluskan sebelum saya menjadi Menteri Besar, maknanya kita perlukan lebih kurang 18 tahun untuk menghabiskan kuota tersebut.

“Jadi tak ada makna saya nak luluskan permohonan baharu kerana pelabur perlu tunggu tahun yang ke-19 baru sampai giliran mereka (membalak).

“Sebab itu saya percaya usaha golongan yang cuba memesongkan fakta dan menimbulkan fitnah kononnya kita banyak luluskan pembalakan bila kita mengambil alih kerajaan ini akhirnya akan menemui kegagalan,” katanya dalam wawancara eksklusif program Owh!MG terbitan Malaysia Gazette semalam.

Muhammad Sanusi Md Nor

Dalam pada itu, Menteri Besar Kedah itu memberitahu, apabila menerajui kerajaan ini bermakna beliau terpaksa ‘mewarisi’ segala keputusan yang dibuat oleh kerajaan sebelumnya.

“Dalam soal balak yang telah diluluskan sebanyak 75,000 hektar yang saya sebutkan tadi, kita tak boleh batalkan begitu sahaja.

“Jika kita batalkan, kita kena membayar ganti rugi…ada kerajaan negeri yang kena bayar RM63 juta kerana membatalkan kawasan pembalakan.

“Bukanlah tak boleh pertimbang langsung permohonan baharu, cuma macam saya bagitahu tadi, kena tunggulah selepas 18 tahun,” katanya. – Malaysia Gazette