Saudara pengarang,

Saya terpanggil menulis surat ini memandangkan berita pengambilalihan FGV oleh FELDA bermula suku keempat tahun lepas, yang telah menggegarkan dunia korporat. Sesuatu yang bermula dengan ura-ura pembatalan perjanjian pajakan tanah (LLA) FGV kemudiannya berakhir dengan satu keputusan yang saya rasakan lebih tepat dibuat oleh FELDA iaitu menjadi pemegang saham majoriti FGV dengan mengambil alih pegangan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) dan Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB). Dengan kedudukan sebagai pemegang saham majoriti, FELDA kemudiannya telah membuat tawaran awam mandatori untuk membeli semua baki saham yang belum dimilikinya sekali gus, dengan tujuan menyahsenaraikan FGV.

Menurut laporan, setakat 26 Februari 2021, pegangan sahamnya yang terkini dalam FGV berjumlah 76.32%. Ini menempatkan FELDA pada kedudukan yang kini tidak jauh daripada sasaran 90% pegangan. Kedudukan ini bakal membolehkan FELDA melaksanakan pemerolehan wajib dan mendapat milikan penuh ke atas FGV.

Sebagai generasi keturunan peneroka, berita ini amat menggembirakan bagi saya dan saya yakin ianya juga menjadi khabar gembira kepada warga peneroka kerana akhirnya FGV dapat membawa manfaat kepada warga peneroka dan generasi baharunya, melalui FELDA.

Sebelum ini kita dapat melihat ahli Lembaga Pengarah FGV pernah meletakkan aset tanah FELDA dalam keadaan berisiko apabila mereka bersetuju untuk meneliti cadangan Perspective Lane Sdn Bhd, syarikat milik Tan Sri Syed Mokhtar untuk menjadi pemegang saham terbesar FGV. Ini jelas mencerminkan mereka tidak menjiwai perjuangan FELDA untuk warga penerokanya serta kegagalan mereka untuk melindungi kepentingan FELDA apabila mereka sanggup mempertimbangkan suatu langkah yang bakal meletakkan aset tanah FELDA seluas 350,000 hektar dalam bahaya.

Memandangkan perkara ini dan dengan perkembangan terkini, untuk membolehkan aspirasi FGV berdiri selari dengan FELDA, pada pendapat saya, adalah wajar kesemua ahli lembaga pengarah FGV meletak jawatan dengan bermaruah atau digantikan oleh FELDA.

FELDA juga perlu lebih bertegas supaya perjalanan FGV dalam melangkah ke hadapan akan lebih lancar dan membawa kepada manifestasi kejayaan yang lebih mampan.

Ashraf Arif
Kuala Lumpur

1 Komen

  1. Doa orang dizalimi.termakbul …….
    Dulu peneroka yang menentang penubuhan fgv disumpah oleh pm sebagai haram jadah. Disekat segala kemudahan dan keperluan mereka.

Comments are closed.