Penunjuk perasaan turun padang untuk membantah perubahan dalam dasar pengebumian mangsa yang meninggal dunia akibat Covid-19. foto Agensi

COLOMBO – Sebuah pulau terpencil telah dipilih oleh kerajaan Sri Lanka untuk pengebumian mangsa Covid-19 dari kalangan minoriti Muslim dan Kristian.

Pulau Iranathivu di Teluk Mannar adalah tempat khas untuk pengebumian yang terletak sekitar 300 kilometer (km) kira-kira 186 batu dari ibu kota.

Namun, rancangan Sri Lanka untuk mengebumikan jenazah mangsa Covid-19 di sebuah pulau terpencil telah dibidas pelbagai pihak.

Sejak April lalu, Sri Lanka mewajibkan semua mayat pesakit Covid-19 dibakar walaupun pakar mengatakan ia tidak akan menyebarkan virus.

Bagaimanapun, dasar itu ditarik balik minggu lalu selepas lawatan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan yang menggesa kerajaan negara itu menghormati hak pengebumian masyarakat Islam.

Tambahan lagi, kumpulan hak asasi manusia, termasuk Amnesty International dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga telah mengemukakan bantahan.

Pesuruhjaya Tinggi PBB juga mengatakan dasar pembakaran mayat adalah satu sifat yang tidak menghormati perasaan keagamaan mangsa dan ahli keluarga mereka, terutama umat Islam, Katolik dan beberapa penganut Buddha.

Sementara itu, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak ada bukti saintifik yang menunjukkan pembakaran mayat harus digunakan untuk mencegah jangkitan.

“Tetapi, mayat mereka yang telah meninggal dunia akibat daripada wabak ini harus ditangani dengan selamat mengikut panduan yang telah diberikan,” katanya.

Pemimpin Parti Islam, Sri Lanka Muslim Congress (SLMC), Rauf Hakeem pula berkata, keluarga mereka mahu mengebumikan ahli keluarga di tanah perkuburan sendiri yang berhampiran dengan penempatan masing-masing.

Minoriti Islam yang dianggarkan 10 peratus daripada 21 juta penduduk Sri Lanka telah mencabar dasar itu, malah mendakwa pengebumian seperti itu dilarang mengikut syariat Islam.

“Cadangan untuk mengebumikan di pulau terpencil itu juga tidak boleh diterima,” ujarnya.

Buat masa sekarang, dasar mengenai pengebumian jenazah umat Islam mangsa Covid-19 di pulau itu masih pada peringkat cadangan. -MalaysiaGazette