Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang

PULAU PINANG – Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulang Pinang telah mencadangkan kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow supaya mendapat perkenan Yang di-Pertuan Negeri untuk mengadakan persidangan.

Cadangan itu adalah susulan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah yang menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa.

Speaker DUN Pulau Pinang, Law Choo Kiang berkata, persidangan dijadualkan bermula pada April dan DUN Pulau Pinang berharap mesyuarat dapat dijalankan mengikut jadual.

“Walau bagaimanapun. Kami masih menunggu penasihat undang-undang untuk mendapat pengesahan daripada Jabatan Peguam Negara.

“Ia juga bertujuan mendapat penjelasan mengenai darurat dan juga Perlembagaan,” katanya kepada Kwong Wah Yit Poh.

Ditanya kemungkinan mesyuarat DUN diadakan secara virtual untuk mengurang risiko jangkitan, Choo Kiang menegaskan persidangan fizikal akan diadakan.

“Kalau diadakan, ia pasti akan diadakan dalam bentuk fizikal.

“Walau bagaimanapun, ia juga bergantung kepada Majlis Keselamatan Negara jika perintah kawalan pergerakan dilaksanakan di Pulau Pinang pada April,” katanya. – MalaysiaGazette