Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof menunjukan laporan pencapaian “KKR 2020” ketika wawacara dan sidang media pencapaian Kementerian Kerja Raya (KKR) 2020 di Kompleks Kerja Raya di Jabatan Kerja Raya Malaysia, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 01 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) berjaya menyiapkan 99 peratus daripada projek-projek kendaliannya sekaligus mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kementerian itu sepanjang tahun lalu

Meskipun berdepan dengan halangan utama iaitu pandemik Covid-19, namun segala projek yang dilaksanakan berjalan dengan lancar meskipun tidak dapat mengikut jadual yang ditetapkan.

Dalam hal ini sudah pasti orang nombor satu dalam kementerian itu, Datuk Seri Fadillah Yusof dapat berbangga kerana tanggungjawabnya sebagai Menteri Kerja Raya dapat ditunaikan demi menjamin kesejahteraan rakyat.

Dalam wawancara Setahun Malaysia Prihatin, Fadillah berkongsi kejayaan kementeriannya memacu segala projek yang dirancang walaupun ada di antaranya agak lambat  ekoran wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini.

Beliau berkata, dalam konteks itu projek-projek utama seperti Projek Pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo yang menghubungkan Sarawak dan Sabah tetap menjadi keutamaan pihaknya.

Begitu juga dengan Projek Central Spine Road (CSR) yang merupakan laluan di negeri Pahang dari Bentong hingga sempadan negeri Kelantan membabitkan enam pakej pembinaan turut meningkatkan keboleh-sampaian dan pergerakan laluan ke Pantai Timur.

“Ini semua sedang rancak kita laksanakan, ada yang dah siap dan ada yang berada di peringkat perolehan dan ada juga yang dalam peringkat rekabentuk,” katanya.

Fadillah berkata, dalam apa jua keadaan KKR tetap berpegang dengan mottonya iaitu “Ke Arah Kesejahteraan Rakyat” di mana ia menjadi misi dan agenda utama kementerian.

Katanya, KKR akan memastikan pembinaan infra dan bangunan-bangunan kerajaan dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya di samping memastikan keadaan jalan untuk kegunaan orang ramai berada pada tahap yang selamat.

“Sebenarnya jalan-jalan yang kita bina termasuk jalan-jalan baru adalah untuk merancakkan ekonomi negara kita.

“Bukan sahaja memudahkan pergerakan antara mobiliti orang awam tetapi juga mobiliti perkhidmatan barangan dan lebih penting lagi memberi impak ekonomi kepada rakyat,” ujarnya.

Ditanya tentang satu peratus halangan yang dihadapi kementerian, Fadillah mengambil contoh Pakej Rangsangan Ekonomi, walaupun ada peruntukan yang diberikan namun, ia (projek) tidak dapat disiapkan pada tahun lepas sebaliknya hanya dapat disiapkan tahun ini.

Tambahnya, KKR sememangnya mempunyai sasaran untuk menyiapkan keseluruhan projek tetapi disebabkan pandemik Covid-19 hasrat itu terbantut.

“Mengapa kita tak dapat nak laksanakan disebabkan berlakunya pandemik Covid-19.

“Bila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan contohnya di Sabah, maka aktiviti gerak kerja pembinaan tidak dapat dilaksanakan…bekalan bahan-bahan binaan, pergerakan antara negeri tak dapat dibuat.

“Jadi ini sebahagiannya mengekang dalam menyiapkan kerja-kerja yang diperlukan…sebab itu kita tak dapat siapkan…itu sebagai salah satu contoh,” jelasnya.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof bercakap ketika wawacara dan sidang media pencapaian Kementerian Kerja Raya (KKR) 2020 di Kompleks Kerja Raya Jabatan Kerja Raya Malaysia, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 01 MAC 2021.

Mengenai Lebuh Raya Pan Borneo, Fadillah berkata, di Sarawak ia telah dimulakan setahun lebih awal berbanding di Sabah.

Ujarnya, apabila jangka waktu kerja itu diawalkan, sudah pasti yang kemudian akan lebih lambat untuk disiapkan.

Kedua kata beliau, perubahan kaedah pelaksanaan di mana ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) ia dilaksanakan secara project delivery partner (PDP).

Menerusi kaedah itu sebuah syarikat dilantik sebagai delivery partner akan menggalas tanggungjawab dan segala bebanan berhubung kait dengan pelaksanaan mewakili kerajaan.

Bagaimanapun katanya, ia dibatalkan ketika peralihan pemerintahan di zaman Pakatan Harapan menjadi kerajaan.

“Apabila PDP dibatalkan, maka ia diserahkan kepada JKR Sabah dan JKR Sarawak sebagai pegawai pengawasan yang akan memantau pelaksanaan projek berkenaan.

“Apabila berlaku perubahan ini, sudah pasti akan berlaku adjustment disebabkan penilaian, berapa yang sudah dilaksanakan untuk penyerahan dan sebagainya.

“Disebabkan itu juga, maka lanjutan tempoh diberikan sebanyak setahun untuk projek ini disiapkan,” jelasnya.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof (tengah) menunjukan laporan pencapaian “KKR 2020” di Kompleks Kerja Raya Jabatan Kerja Raya Malaysia, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 01 MAC 2021.

Tambah beliau, sebanyak 11 kontraktor terlibat dalam projek Pan Borneo dengan setiap daripadanya mempunyai bidang masing-masing.

Ketika ditanya sama ada tempoh untuk menyiapkan Lebuh Raya Pan Borneo akan dilanjutkan lagi ekoran pelaksanaan PKP, Fadillah berkata, pakej kerja yang sudah diberikan boleh kekal dengan tempoh siap yang dijadualkan sebelum ini, iaitu 2023 untuk Sarawak.

Bagaimanapun katanya, cabaran PKP mungkin melengahkan perkara itu namun, setakat ini status siap projek itu telahpun mencapai 60 peratus.

Untuk projek di Sabah pula, ia kini telah siap 45 peratus untuk 10 pakej yang mana lima daripadanya kini di peringkat tender.

“Ini akan mengambil masa tiga tahun lagi daripada tarikh dianugerahkan untuk disiapkan, kebiasaannya 36 bulan.

“Ia adalah sebahagian daripada tempoh siap baharu yang sedang kami teliti. Namun, kami sedang mencari cara untuk memastikan kita boleh percepatkan tempoh siap projek ini di kedua-dua negeri.

“Kerajaan Sabah memohon kita pertimbangkan semula kaedah mencari mekanisme baharu untuk mendapatkan dana tambahan untuk baki 20 pakej yang dibatalkan oleh PH. Ini antara yang sedang kami teliti,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.