Kebakaran awal pagi di Flat Pinang Emas, Batu Ferringhi mengakibatkan 17 buah motosikal dijilat api.

BATU FERRINGHI – Sebanyak 17 buah motosikal yang diletakkan di ruang parkir musnah dalam satu kebakaran di Blok B, Flat Pinang Emas, Jalan Sungai 1 di sini awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 3.26 pagi sebelum menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal ke lokasi.

Katanya, sebaik tiba di lokasi pihak bomba mendapati berlaku kebakaran membabitkan 17 motosikal, namun kebakaran tersebut sudah dipadamkan oleh orang awam.

Sebahagian daripada motosikal yang musnah akibat kebakaran di Flat Pinang Emas, Batu Ferringhi awal pagi tadi.

Difahamkan, tujuh daripada motosikal itu musnah sepenuhnya manakala baki mengalami kerosakkan akibat kebakaran tersebut.

Selain itu, sebuah kereta jenis Perodua Myvi turut mengalami kerosakkan pada bahagian belakang akibat terkena bahang api berkenaan.

Sebuah kereta Perodua Myvi turut mengalami kerosakan akibat kejadian tersebut.

“Pihak bomba menjalankan kerja-kerja pemadaman juga bagi memastikan tiada punca api sekali gus elak berlaku kebakaran semula di lokasi.

“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.45 pagi dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini. – MalaysiGazette