Vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech yang akan digunakan kepada petugas barisan hadapan pada Program Suntikan Imunisasi Vaksin Covid-19 di MAEPS Serdang, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 05 MAC 2021.

SATU berita gembira yang dinanti-nantikan oleh penduduk Malaysia terjawab beberapa
minggu lalu apabila vaksin COVID-19 iaitu kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech telah selamat sampai ke Malaysia. Ini merupakan satu detik sejarah yang tidak dapat dilupakan oleh penduduk Malaysia dengan kedatangan vaksin yang diharapkan dapat merungkai masalah wabak ini setelah lebih setahun berperang dengan pandemiknya.

Statistik virus COVID-19 yang telah meragut lebih 1,000 nyawa setakat ini, akhirnya moga menjadi sinar harapan kepada rakyat dalam menangani wabak ini. Pihak kerajaan khususnya pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta agensi kerajaan yang lain sudah berbulan-bulan merancang dan mengatur langkah agar program vaksinasi kebangsaan ini berjaya dilakukan kepada lebih 80% komuniti penduduk di Malaysia.

Vaksin secara umum adalah salah satu kaedah pencegahan penyakit berjangkit dan
berbahaya. Vaksin ini dihasilkan dari sebahagian atau keseluruhan struktur virus atau bakteria yang telah dimatikan atau dilemahkan, atau dari protein subunit pada virus. Virus tertentu dibunuh dengan bahan kimia sehingga virus tidak lagi dapat bertambah dan menyebabkan penyakit.

Virus yang telah dinyahaktifkan ini kemudiannya digunakan untuk membuat vaksin. Antigen dalam vaksin berfungsi untuk merangsang sistem daya lawan jangkitan (sistem imuniti) tubuh dan membentuk imuniti terhadap jangkitan penyakit khusus. Antibodi
yang terhasil akan terlatih untuk mengenalpasti kuman atau virus tertentu supaya sistem imun ini cukup bersedia sekiranya berlaku jangkitan sebenar pada masa akan datang.

Secara tidak langsung, vaksin membantu merangsang sistem ketahanan semulajadi badan bagi mengurangkan risiko terhadap jangkitan kuman atau virus. Terdapat pelbagai jenis vaksin yang dihasilkan dewasa ini. Viral vektor vaksin mengandungi ubah suai virus (vektor) untuk menyampaikan kod genetik antigen, seperti vaksin Ebola.

Inactivated virus vaksin pula mengandungi virus atau bakteria yang telah dimatikan, seperti vaksin Polio, Influenza dan Rabies. Live-attenuated virus vaksin mengandungi virus atau bakteria yang telah dilemahkan seperti vaksin MMR dan yellow fever. Protein subunit vaksin mengandungi protein subunit virus atau bakteria seperti vaksin
pertussis.

Toxoid vaksin pula mengandungi toxoid yang telah dilemahkan seperti vaksin
dipheteria dan tetanus. Manakala, nucleic acid vaksin mengandungi DNA atau RNA coding
daripada protein virus seperti vaksin COVID-19. Menurut pusat kawalan dan pencegahan penyakit (CDC), vaksin Messenger RNA atau disebut mRNA adalah beberapa vaksin COVID-19 pertama yang dibenarkan untuk digunakan di Amerika Syarikat. Vaksin mRNA menggunakan proses yang kebiasaannya digunakan oleh sel untuk membuat protein yang menghasilkan tindak balas imun dan membina imuniti terhadap SARS-CoV-2, virus yang menyebabkan COVID-19.

Sebaliknya, kebanyakan jenis vaksin yang lain menggunakan komponen patogen yang lemah atau tidak aktif untuk merangsang tindak balas imun badan untuk menghasilkan antibodi. Vaksin mRNA mempunyai kod bahan genetik yang disebut mRNA di dalam lapisan khas, yang melindungi mRNA daripada enzim dalam badan yang akan memusnahkannya.

Ia juga membantu mRNA memasuki sel dendritik dan makrofaj di kelenjar limfa berhampiran tempat vaksinasi. mRNA ini digambarkan sebagai petunjuk kepada sel untuk membuat spike protein yang unik dan spesifik kepada virus SARS-CoV-2. Oleh kerana hanya sebahagian protein yang dibuat, vaksin mRNA ini bersifat antigenik dan tidak membahayakan orang yang diberikan suntikan vaksin.

Setelah beberapa spike protein dibuat, sel badan memecahkan mRNA dan
membuangnya menggunakan enzim di dalam sel badan. Vaksin mRNA tidak mengubah DNA seseorang kerana mRNA hanya aktif dalam sitoplasma sel dalam masa yang singkat dan tidak pernah memasuki nukleus sel atau mempengaruhi bahan genetik.

Maklumat ini penting bagi mengelakkan salah faham masyarakat mengenai vaksin mRNA akan mengubah susunan genetik seseorang. Setelah dipaparkan di permukaan sel, protein atau antigen merangsang sistem imuniti tubuh mula menghasilkan antibodi dan mengaktifkan sel-T untuk melawan apa yang difikirkannya adalah jangkitan.

Antibodi ini khusus untuk virus SARS-CoV-2, yang mempersiapkan sistem imuniti tubuh untuk melindungi diri daripada infeksi virus yang sama di masa akan datang. Vaksin mRNA mempunyai beberapa kebaikan berbanding jenis vaksin yang lain seperti penggunaan unsur yang tidak berjangkit, masa pembuatan yang lebih pendek, dan
potensi untuk mensasarkan pelbagai penyakit. Vaksin mRNA boleh dikembangkan di
makmal menggunakan templat DNA dan bahan yang tersedia. Ini bermaksud prosesnya dapat diseragamkan dan ditingkatkan, menjadikan penghasilan vaksin lebih cepat daripada kaedah tradisional.

Tambahan pula, vaksin DNA dan RNA biasanya dapat digunakan dengan cepat
ke klinik atau hospital untuk kajian awal. Islam mengutamakan pencegahan daripada sudut pengubatan kerana ia selari dengan sunnah yang diajarkan oleh baginda Nabi Muhammad SAW. Di dalam kaedah fikah, salah satunya adalah menghindari kerosakan yang besar adalah diutamakan melebihi mengambil manfaat yang sedikit.

Melalui kaedah ini, di dalam Islam setiap perkara yang mendatangkan kemudharatan dan kerosakan hendaklah ditegah daripada berlaku. Sebagai contoh, Islam melarang menghampiri bibit-bibit penzinaan iaitu seks diluar nikah kerana boleh mendatangkan masalah kesihatan yang kronik, disamping kecelaruan nasab manusia.

Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, khalwat di antara lelaki dan perempuan dan pendedahan aurat diharamkan oleh agama Islam bagi meencegah kemudharatan penzinaan yang lebih teruk. Dalam konteks yang pengambilan vaksin ini, Islam menyuruh penganutnya berdisiplin dalam hidup daripada aspek pencegahan kerana ia mampu mencegah daripada pelbagai penyakit di masa akan datang.

Di samping itu, berlebih-lebihan dalam aspek makan dan minum perlu dijauhi kerana
memberi kesan negatif kepada kesihatan. Menurut Tarmizi, Ahmad, Ibn Majah dan An-
Nasai, beliau berkata, “Tidak ada bekas yang lebih keji daripada perut anak Adam. Cukuplah bagi anak Adam dengan beberapa suapan yang membetulkan tulang belakangnya. Sekiranya dia terpaksa melakukannya juga, maka satu pertiga untuk makanannya, satu pertiga untuk minumannya dan satu pertiga untuk nafasnya.”

Apabila ada wabak menyerang kawasan tertentu, prosedur pencegahan perlu
dilakukan supaya tidak merebak ke kawasan lain. Penjagaan kebersihan diri dan tempat
keliling juga penting, elakkan bersalaman kerana wabak COVID-19 boleh merebak melalui
sentuhan serta pakai penutup muka bagi mengelakkan terkena wabak ini. Jangan berkumpul di kawasan sesak serta amalkan penjarakan sosial seperti yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia. Kita mesti menang!

Dr Muhamad Rafiqi Hehsan
Pensyarah Perubatan Pelatih (Anaesthesiology)
Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia.

Dr Aspalilah Alias,
Pensyarah Anatomi, Fakulti Pergigian,
Universiti Sains Islam Malaysia.