KUALA LUMPUR – Gara-gara bertengkar di tepi jalan berhampiran lampu isyarat berdekatan Lebuh Raya Sprint, Damansara, dua lelaki tempatan ditahan polis.

Kejadian pergaduhan itu berlaku semalam membabitkan seorang penunggang motosikal, 46 dan pemandu teksi, 71, kira-kira jam 6.20 petang.

Pergaduhan itu tular di laman sosial.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner, Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, penunggang motosikal yang menjadi pengadu mendakwa pemandu teksi telah memotong laluan tanpa memberi lampu isyarat sehingga membahayakan orang lain.

Setibanya di lampu isyarat, penunggang tersebut menegur pemandu berkenaan, lantas berlaku pertengkaran mulut.

“Penunggang motosikal mengetuk cermin teksi supaya pemandu berhenti dan menyelesaikan perkara tersebut.

“Pemandu teksi berhenti dan bertindak mengeluarkan kunci stering untuk memukul penunggang motosikal hingga mendatanagkan kecederaan pada tangan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Pemandu teksi turut membuat laporan polis mendakwa lelaki berkenaan mengancam menggunakan topi keledar serta memukulnya menggunakan kunci stereng yang dirampas daripadanya.

Nik Ezanee berkata, kedua-duanya yang tidak memiliki rekod lampau ditahan di tepi Jalan Mutiara Damansara.

Mereka diberi jamin polis awal pagi tadi memandangkan salah seorang berusia 71 tahun.

Nik Ezanee berkata, kedua-duanya disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaana yang membawa hukuman penjara selama tiga tahun.

Kedua-duanua turut disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana gaduh gempar yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara enam bulan atau denda, atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette