Para pencarum membuat permohonan i-Sinar secara dalam talian ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Ibu Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 DISEMBER 2020.

PANDEMIK Covid-19 telah melanda negara melebihi setahun lamanya. Pandemik ini telah mengakibatkan pelbagai kesan positif dan negatif dalam kehidupan kita semua. Tidak dinafikan situasi ini juga telah menggugat kestabilan ekonomi serantau dan turut memberi kesan secara global.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac 2020 telah
mendatangkan kesan secara langsung kepada pelbagai jenis industri terutamanya industri
pelancongan, pertanian, pembinaan dan pembuatan serta beberapa jenis industri lagi. Hal ini telah mengakibatkan banyak perniagaan terutamanya yang berskala kecil dan sederhana terjejas, sekali gus mengakibatkan sebahagian daripada kita kekurangan dan tidak kurang juga yang kehilangan sumber pendapatan.

Ada juga yang terpaksa mengurangkan jumlah hari bekerja kerana penggiliran, dan mereka yang terlibat secara tidak langsung contohnya pengusaha kenderaan awam juga turut terpaksa menanggung kerugian kerana kekurangan pelanggan. Kerajaan Malaysia telah mengambil langkah awal dengan mengumumkan moratorium pada April 2020, seterusnya mengumumkan beberapa lagi langkah-langkah tambahan bagi
mengurangkan beban masyarakat termasuklah Bantuan Pembayaran Balik Bersasar. Bantuan Pembayaran Balik Bersasar Dipertingkatkan dan pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah meluluskan skim pengeluaran yang dinamakan i-Lestari dan yang terbaharu i-Sinar.

Kemudahan ini disediakan untuk mereka yang terjejas disebabkan oleh COVID-19
yang terdiri daripada pencarum KWSP, dan Menteri Kewangan juga telah mengumumkan
pemansuhan syarat-syarat pengeluaran bagi membolehkan lebih ramai rakyat yang terkesan membuat pengeluaran ini. Pengeluaran i-Sinar yang tertakluk kepada baki semasa Akaun 1 ini akan dilaksanakan selama 6 bulan secara berperingkat, yang mana bagi pencarum yang mempunyai simpanan RM100,000 dan ke bawah boleh mengeluarkan sehingga RM10,000, manakala pencarum yang mempunyai simpanan melebihi RM100,000 pula dibenarkan melakukan pengeluaran maksimum sehingga RM60,000.

Pengeluaran ini juga tertakluk kepada pengeluaran bulanan yang dihadkan mengikut baki semasa akaun. Bagi mereka yang memohon pengeluaran i-Sinar ini, adalah amat penting untuk mereka menguruskan kewangan dengan bijak. Ini adalah kerana mereka perlu sedar bahawa pengeluaran daripada KWSP ini bermaksud mereka telah mengurangkan simpanan untuk hari tua mereka.

Namun, atas dasar keperluan semasa, kerajaan telah memberi kelonggaran demi
kesinambungan hidup di zaman pandemik ini. Pelbagai langkah harus diambil bagi memastikan kelangsungan hidup dapat diteruskan. Perbelanjaan harian, mingguan dan bulanan hendaklah dikenalpasti, termasuklah komitmen bulanan seperti bayaran sewa rumah, pinjaman sewa beli kenderaan, insurans atau takaful, yuran bulanan bagi taska, bil elektrik dan air dan sebagainya.

Perbelanjaan mingguan pula termasuklah makan minum, pembelian susu atau lampin bagi anak kecil, pembelian bahan api bagi kenderaan, pembelian atau langganan telefon dan sebagainya. Belanjawan secara terperinci dan disusun atur mengikut keperluan hendaklah ditulis. Amalkan tabiat mencatit setiap sen yang masuk dan keluar agar kita dapat mengenalpasti di manakah ketirisan perbelanjaan kita secara konsisten sekali gus dapat mengelakkan perkara yang sama berulang. Ketirisan yang kecil inilah yang kadangkala boleh menjadi jumlah yang besar sekiranya tidak diperhatikan dan dikawal dengan baik.

Contoh yang paling mudah adalah pembelian makanan ringan tambahan atau perbelanjaan di luar belanjawan. Mana-mana perbelanjaan yang tidak perlu haruslah dikurangkan contohnya pembelian rokok, langganan permainan dalam talian ataupun langganan kabel tv. Belanjawan yang telah ditulis itu hendaklah dipatuhi. Gunakan wang yang telah disimpan dalam tabung kecemasan untuk kes kecemasan. Kekurangan wang untuk membeli sesuatu kehendak tidak dikira sebagai kecemasan. Kita juga disarankan untuk mencari pekerjaan atau perniagaan lain yang boleh diceburi tanpa memerlukan modal yang besar.

Ramai juga mereka yang terjejas akibat pandemik ini yang telah berusaha mencari sumber pendapatan yang baharu dengan berniaga, menjadi pemandu Grab atau menjadi runner. Ramai juga yang mula berkecimpung dengan perniagaan berasaskan dropship yang mana tiada modal diperlukan. Tidak kurang juga mereka yang mencuba sesuatu yang baharu, di luar kemahiran mereka demi menampung keperluan keluarga.
Bagi mereka yang membuat pengeluaran atas dasar kelangsungan hidup, Institusi
Zakat dan Jawatankuasa Syariah KWSP telah bersetuju agar zakat i-Sinar ini dikecualikan
dengan syarat pengecualian ini tertakluk hanya kepada mereka yang benar-benar terdesak dan tiada sumber pendapatan yang lain selain daripada pengeluaran i-Sinar atau i-Lestari.

Bagi mereka yang tidak termasuk di dalam golongan ini, adalah wajib bagi mereka untuk
mengeluarkan zakat sebanyak 2.5% daripada jumlah pengeluaran. Walau apapun perancangan kita dalam menggunakan kemudahan yang telah diberikan oleh pelbagai pihak ini, kita perlu beringat supaya tidak boros dan sentiasa berjimat
cermat. Rasulullah SAW pernah menegur seorang sahabat yang berwuduk scara berlebihan seperti yang telah dinukilkan di dalam hadith riwayat daripada Abdullah Ibn Amru bin Al Ash, beliau berkata maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW lalu di suatu kawasan dan melihat Sa’ad sedang berwuduk, lalu Baginda bersabda: “Kenapakah israf (berlebihan) ini?”

Maka Sa’ad menjawab: “Adakah pada wuduk juga terdapat israf?” Lalu Baginda menjawab: “Ya, sekalipun kamu beraa di sungai yang mengalir.” (Riwayat Ibn Majah – 425) Kita juga seharusnya mengambil iktibar dalam sirah Nabi Yusuf yang dinukilkan
dalam Surah Yusuf ayat 47-48 yang bermaksud “Hendaklah kamu menanam tujuh tahun
lamanya sebagaimana biasa, maka apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan di tangkainya kecuali sedikit untuk kamu makan. Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sulit, yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sulit), kecuali sedikit dari (bibit gandum) yang kamu simpan (untuk dijadikan benih).”

Semoga pandemik ini cepat berlalu dan pelbagai jenis industri yang terjejas kembali
pulih. Diharapkan kemudahan i-SInar yang diberikan mampu membawa sinar harapan ke
dalam kehidupan kita semua.

Dr Jannatul Madihah binti Abu Bakar
Setiausaha WARAK Writers Pool, Exco Wanita Remaja dan Kanak-kanak,
Persatuan Amal Perubatan Ibnu Sina (PAPISMA).

Dr Aspalilah Alias
Pensyarah Anatomi, Fakulti Pergigian, USIM
Exco Wanita Remaja dan Kanak-kanak (WARAK),
Persatuan Amal Perubatan Ibnu Sina (PAPISMA).