Siti Noor Madzariah mengumpul pakaian lama untuk dijadikan sumber rezekinya selepas diberhentikan kerja beberapa tahun lalu.

KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) yang berkunjung ke kediaman bekas kru Malaysia Airlines Berhad, Siti Noor Madzariah terkejut dengan kehidupannya yang cukup daif selepas diberhentikan kerja beberapa tahun lalu.

Wanita yang memiliki lima anak itu terpaksa menanggung kehidupan harian dengan mengutip dan menjual botol plastik dan pakaian lama.

Presiden NUFAM, Ismail Nasaruddin berkata, pihaknya telah melancarkan bantuan kilat untuk mengurangkan beban hidupnya.

Orang ramai yang berhasrat untuk meringan beban wanita ini boleh menyumbang menerusi akaun Maybank Siti Noor Madzariah 1141 8734 8798.

Ismail juga menyeru Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat dan Jabatan Kebajikan Malaysia memain peranan proaktif untuk membantu golongan susah terutama yang hilang pekerjaan.

Katanya, golongan ibu tunggal adalah antara yang terjejas teruk kerana perlu menyara keluarga tanpa menerima mana-mana bantuan tetap ketika pandemik Covid-19.

”Mereka mungkin malu tampil ke hadapan, hanya segelintir mereka berani dan telah memaklum keadaan yang sebenar kepada kami. Kami bimbang ramai antara mereka ini tidak menerima bantuan yang secukupnya atau bantuan yang telah disalurkan oleh kerajaan hari ini,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berharap bekas-bekas pekerja kabin yang memerlukan bantuan supaya tampil ke hadapan.

Ismail berkata, NUFAM mengalu-alukan kenaikan bantuan kerajaan kerana ramai masih lagi yang hidup susah akibat kesan pandemik Covid-19.

Usaha kerajaan yang diumum oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin untuk menaikan bantuan dari RM300 hingga RM1,000 disambut baik.

”Bayangkan bantuan hanya sebanyak RM300 sebulan atau kurang dari RM1,000 ringgit untuk golongan ini semestinya tidak mencukupi buat mereka,” ujarnya.

Kenaikan bantuan ini juga dapat membantu rakyat miskin terutama sekali mereka yang telah hilang pekerjaan dan masih hidup dalam kesusahan pada hari ini.

Dalam pada itu, katanya, NUFAM akan menyediakan satu laporan kepada jabatan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) untuk meneliti isu kemiskinan golongan pekerja yang telah hilang pendapatan mereka. – MalaysiaGazette