Tony Fernandes menyampaikan pakej dari penghantaran dron kepada Khairy Jamaluddin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang disaksikan oleh Datuk Ir. Dr Siti Hamisah Binti Tapsir, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Puan Dzuleira Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC dan Kapten Chester Voo Chee Soon, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

KUALA LUMPUR – Para pembeli di Malaysia tidak lama lagi boleh menikmati pengalaman beli-belah baharu kerana Teleport, cabang logistik AirAsia Digital dengan kerjasama Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), melancarkan Sandbox Penghantaran melalui dron di kawasan bandar dan menguji daya maju jangka panjang perkhidmatan penghantaran kenderaan itu.

Projek perintis untuk perkhidmatan penghantaran pesanan dari platform e-dagang AirAsia termasuk AirAsia Shop menggunakan dron automatik akan dilaksanakan melalui pendekatan bertahap selama enam bulan di tapak ujian Sandbox Inovasi dan Teknologi Nasional (NTIS) ketiga di Cyberjaya.

Perkhidmatan ini masih dalam peringkat ujian oleh dua pengendali dron tempatan VStream Revolution Sdn Bhd dan Meraque Services Sdn Bhd.

Fasa pertama projek di Cyberjaya ini bertujuan untuk menilai keupayaan, pengalaman, proses kelulusan, kesediaan dron dan pengembangan perkhidmatan oleh pengendali dron.

Perkhidmatan ini dijangka dilancarkan setelah fasa percubaan berjaya dan mungkin diperluaskan di luar persekitaran sandbox.

Sebagai pusat penyelarasan dan pemudahcara penyelesaian nasional, NTIS menyediakan langkah kritikal dengan memberi kelonggaran kepada proses terpilih atau keseluruhan dan/atau keperluan kawal selia untuk mempercepat pembangunan penyelesaian inovatif daripada peringkat penyelidikan dan pembangunan kepada peringkat yang sedia untuk dikomersialkan.

Dalam merealisasikan projek ini, NTIS bekerjasama rapat dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk kenderaan udara tanpa pemandu di kawasan bandar ini memenuhi keperluan dan peraturan yang ditetapkan oleh CAAM untuk memastikan keselamatan awam kekal menjadi keutamaan tertinggi selain memudahkan kemajuan teknologi.

Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group berkata, AirAsia sentiasa berinovasi sejak ditubuhkan 20 tahun yang lalu dan kini menembusi industri e-dagang dengan airasia super app yang menawarkan makanan, barangan runcit, penghantaran produk bebas cukai oleh Teleport dan banyak lagi.

Ini adalah usaha jangka masa panjang AirAsia bagi meneroka perkhidmatan penghantaran melalui dron di kawasan bandar.

”Ini adalah satu penyelesaian logistik inovatif yang akhirnya akan meningkatkan kecekapan dan kecemerlangan operasi serta menjadikan perkhidmatan penghantaran di kawasan bandar lebih pantas. Selain itu, perkhidmatan penghantaran melalui dron menjadikan kami lebih berdaya saing untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam sektor e-dagang dan lebih tangkas untuk menghadapi landskap ekonomi yang berubah-ubah,” katanya di sini.

Tony menambah, inovasi ini akan membolehkan kami mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan berteknologi tinggi untuk rakyat Malaysia.

Kemampuan untuk mengubah peranan adalah sebahagian daripada budaya syarikat ini dan walaupun ada yang kehilangan pekerjaan dalam sektor penerbangan, AirAsia dapat menawarkan peluang kedua kepada mereka untuk membina kerjaya baharu melalui sektor e-dagang. – MalaysiaGazette