Orang awam, Irna Edaura ditemubual oleh wartawan mengenai My Digital ketika tinjaun lensa Malaysia Gazette di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Foto HAFIZ SOHAIMI, 06 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Rata-rata orang ramai berpendapat persekitaran masyarakat digital mampu diwujudkan menjelang tahun 2030 sekiranya pembangunan infrakstruktur diperluaskan ke setiap pelosok negara.

Ini kerana infrastruktur atau prasarana yang baik mampu memberi impak secara terus terhadap pembangunan komuniti dan peningkatan kualiti hidup masyarakat.

Justeru inisiatif MyDIGITAL yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 19 Februari lalu diibaratkan seperti talian hayat kepada rakyat dalam mendepani era digital.

Tinjauan Malaysia Gazette mendapati kebanyakan rakyat teruja dengan inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan dalam merangsang ekonomi berasaskan digital dan merasakan ia sebagai peluang dalam memperbaiki taraf kehidupan.

Pekerja swasta, Irna Edaura, 39, berkata, pelbagai usaha perlu dijalankan oleh kerajaan dalam merapatkan jurang digital di kawasan bandar dan luar bandar.

“Pada pandangan saya, sekarang murid dan pelajar sudah beralih kepada Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) jadi capaian internet untuk kawasan pedalaman perlu dipertingkatkan supaya tiada jurang antara anak-anak kita dalam menimba ilmu.

“Kawasan bandar mereka ada capaian internet mudah tetapi di luar bandar mereka perlu pergi ke tempat-tempat tertentu baru lah boleh mendapat akses internet,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.

Tambah Irna, selain merapatkan jurang di antara kawasan bandar dan luar bandar, kerajaan juga perlu memperkenalkan kaedah di mana syarikat telekomunikasi dan pemain industri turut sama mempunyai peranan penting dalam menyokong pendigitalan ini.

Kata Irna, latar belakang pendapatan setiap rakyat adalah berbeza-beza dan keterbatasan untuk melanggan jalur lebar mudah alih sudah tentu menjadi salah satu isu yang perlu diselesaikan.

“Kita ambil contoh PdPR kerana tak semua ibu bapa di negara ini berkemampuan untuk melanggan internet di rumah kerana harga pakej yang agak tinggi.

“Mungkin kerajaan boleh lihat semula dan fikirkan kaedah sama ada pemberian subsidi atau diskaun kepada golongan tertertu misalnya B40,” katanya.

Turut senada, kakitangan kerajaan, Farid Omar, 38, berkata, pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini dilihat meningkatkan keperluan terhadap akses mudah kepada produk, perkhidmatan, maklumat serta dalam bidang pendidikan.

Orang awam, Farid Omar ditemubual oleh wartawan mengenai My Digital ketika tinjaun lensa Malaysia Gazette di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Foto HAFIZ SOHAIMI, 06 MAC 2021.

“Kaedah digital ini merupakan alternatif bagi menggantikan kaedah tradisional.

“Dalam keadaan sekarang memang amat penting mengaplikasikan kaedah digital dari segi pendidikan dan ia perlu dikembangkan lagi sehingga ke seluruh pelosok negara.

“Sebab kita lihat sekarang di bandar penggunaan internet lebih meluas berbanding dengan anak-anak di luar bandar dan kita sendiri tidak pasti sama ada ia sampai atau pun tidak.

“Jadi, kerajaan perlu meningkatkan infrastruktur di luar bandar supaya anak-anak di sana juga dapat menikmati apa yang anak-anak di bandar ini dapat dari segala sudut,” ujarnya.

Tambah Farid, dia juga yakin bahawa negara mampu menjadi nadi digital menjelang tahun 2030 kerana kebanyakan masyarakat sama ada dewasa mahu pun kanak-kanak ada memiliki peranti komunikasi.

Namun katanya, pendigitalan hanya boleh dicapai sepenuhnya jika kemudahan infrastruktur ditambah baik.

“Mungkin mampu kerana kebanyakan rakyat sudah tentu mempunyai telefon pintar sendiri termasuklah anak-anak dan penggunaan boleh capai 100 peratus digital jika infrastruktur juga ditambah baik kerana peralatan dan sistem itu kena selari,” katanya.

Bagi kakitangan kerajaan, Saiful Rusli, 42, dunia digital masa kini bukan sahaja memudahkan urusan seharian malah pergerakan juga menjadi semakin pantas.

Orang awam, Saiful Rusli ditemubual oleh wartawan mengenai My Digital ketika tinjaun lensa Malaysia Gazette di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Foto HAFIZ SOHAIMI, 06 MAC 2021.

Kata Saiful, kepentingan digital ini harus dikuasai oleh semua peringkat umur dalam mendepani cabaran pada masa akan datang.

“Digital ini penting pada masa kini lebih-lebih lagi kepada anak-anak yang bersekolah dan juga mereka yang sentiasa ingin tahu mengenai ‘update’ terkini,” katanya ringkas.

Sementara itu, pelajar, Johan Zafri Johar, 19, berkata, kepantasan internet merupakan perkara utama yang diperlukan golongan muda terutamanya mereka yang masih menuntut di kolej atau universiti.

Orang awam, Johan Zafri Johar ditemubual oleh wartawan mengenai My Digital ketika tinjaun lensa Malaysia Gazette di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Foto HAFIZ SOHAIMI, 06 MAC 2021.

“Memang semua tahu mengenai digital cuma kita perlu tambah baik apa yang ada.

“Contoh kita tengok sekarang data 5G sudah pun diguna pakai oleh negara-negara lain tetapi buat masa sekarang kita fokus dahulu apa yang sepatutnya pada rangkaian 4G.

“Kita kena improve dahulu instead of moving forward,” ujarnya.

Dalam pada itu, peniaga, Mohd. Nasri Ishak, 43, berkata, individu yang tidak mengikuti perkembangan dunia digital akan ketinggalan daripada semua aspek.

Menurut Mohd. Nasri, pada masa kini wujud pelbagai platform digital dan sebagai peniaga mereka perlu memanfaatkan ia sebaik yang mungkin dalam menjana pendapatan.

Peniaga, Mohd Nasri Ishak ditemubual oleh wartawan mengenai Malaysia Prihatin ketika tinjaun lensa Malaysia Gazette di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Foto HAFIZ SOHAIMI, 06 MAC 2021.

“Kalau kita tidak ambil tahu mengenai digital memang akan ketinggalan kerana zaman sekarang ramai orang buat duit melalui penggunaan media sosial.

“Sebagai contoh saya sendiri menggunakan salah satu platform tersebut untuk mengembangkan lagi perniagaan agar capaian pelanggan itu menjadi lebih luas,” ujarnya.

Selain itu, Mohd. Nasri juga berpandangan bahawa kerajaan perlu memperbanyakkan lagi platform e-dagang bagi usahawan-usahawan bumiputera menjalankan perniagaan tanpa perlu bersaing dengan produk-produk luar.

“Berniaga secara online itu memang bagus tetapi offline pun kita tidak boleh tinggalkan kerana orang yang sudah berusia ini tidak mahir dalam digital.

“Tapi golongan muda memang wajib tahu dan manfaatkannya sebaik mungkin,” katanya.

Untuk rekod, Inisiatif MyDIGITAL yang merangkumi Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia merupakan pelengkap kepada dasar pembangunan negara seperti Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, MyDIGITAL menetapkan gabungan inisiatif dan sasaran merentasi tiga fasa pelaksanaan hingga tahun 2030. – MalaysiaGazette