CORUM, Turki – Seorang petani di Corum, Anatolia tengah bersetuju untuk menjual meteorit seberat 68 kilogram yang ditemui di ladangnya dua tahun lalu kepada pembeli di Amerika Syarikat (AS) pada harga AS$180,000.

Mutlu Yilmaz menemui batu besar itu ketika sedang menanam kacang buncis di kebunnya di kampung Gerdekkaya pada April 2019.

Yilmaz dengan pertolongan jirannya membawa batu itu ke rumahnya selepas mendapati ia kelihatan ganjil.

Sampel batu itu kemudiannya dihantar ke AS oleh seorang warga AS yang tinggal di kampung tersebut.

Berikutan pemeriksaan lanjut, batu tersebut disahkan sebagai besi meteorit oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) dan saintis Universiy of California baru-baru ini.

Para pegawai Direktorat Kebudayaan dan Pelancongan wilayah itu menghubungi Yilmaz dan meminta kebenaran untuk mempamerkan meteorit tersebut di sebuah muzium.

Meteorit itu pernah dipamerkan di Muzium Corum selama setahun enam bulan dan ia dilaporkan mempunyai 12 elemen, menjadikannya meteorit ketiga terbesar pernah ditemui di Turki.

Kira-kira 4,000 orang mengunjungi muzium tersebut ketika meteorit itu dipamerkan dan ia dipulangkan kepada Yilmaz selepas itu.

Yilmaz kemudian mengiklankan meteorit yang dianggarkan berusia 4,000 tahun itu untuk dijual.

Akhirnya selepas dua tahun petani itu menemui seorang pembeli dari AS.

Bersetuju untuk menjual meteorit itu pada harga AS180,000, Yilmaz berkata, batu itu akan dihantar ke AS dan proses penjualan akan selesai menurut keputusan ujian dan analisis yang dilakukan di sana.

“Kami menerima tawaran dan menjualnya. Kini kami akan mengikut prosedur rasmi. Kami sedang menkaji bagaimana kami boleh membawa batu ini ke luar negara,” kata Yilmaz yang berharap meteorit itu akan membawa tuah kepada pemilik baru.

Pada 2015, beberapa meteorit jatuh di lokasi tidak berpenghuni di Saricicek, sebuah kampung kecil di Bingo, timur Turki

Penduduk kampung memperoleh AS$140,000 daripada penjualan meteorit tersebut yang kemudiannya mendapati ia merupakan serpihan asteriod Vesta. – MalaysiaGazette