Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berucap pada Setahun Malaysia Prihatin di Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya. Foto SYAFIQ AMBAK, 06 MAC 2021.

PUTRAJAYA – Kerajaan berjaya menyelamatkan 2.7 juta pekerjaan yang secara langsung memberi manfaat kepada lebih 320,000 majikan sejak memperkenalkan pelbagai pakej rangsangan pada tahun lalu.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, antaranya menerusi pengenalan Program Subsidi Upah dengan menyalurkan sebanyak RM14.4 bilion dalam membantu syarikat mengekalkan pekerja dan kapasiti organisasi mereka.

Jelas beliau, kadar pengangguran juga berjaya diturunkan kepada 4.8 peratus melibatkan seramai 772,900 penganggur pada penghujung Disember lalu.

Menurutnya, kadar pengangguran pada keseluruhan 2020 adalah 4.5% di mana kadar bulanan tertinggi dicatat adalah 5.3% pada bulan Mei 2020.

Malaysia mencatat kadar pengangguran yang lebih tinggi daripada 4.5% hanya pada akhir 1980-an rentetan daripada Krisis Komoditi 1985-1986.

Sebanyak RM151.5 bilion nilai moratorium dan bantuan bayaran balik pinjaman bersasar telah dimanfaatkan oleh individu dan perniagaan.

Bagi impak kepada rakyat dan perniagaan, kerajaan telah menyediakan bantuan aliran tunai meliputi moratorium pinjaman automatik selama enam bulan dengan nilai RM100 bilion dan Bantuan Pembayaran Balik Bersasar sebanyak RM51.5 bilion setakat ini.

“Moratorium pinjaman automatik telah memberi manfaat kepada penerima iaitu 7.7 juta individu dan 243,000 perniagaan manakala Bantuan Pembayaran Balik Bersasar pula melibatkan 621,000 individu dan 7,000 perniagaan.

“Insentif lain yang memudahkan aliran tunai adalah pengenalan Bantuan Prihatin Nasional yang memperuntukan RM17.2 bilion dan 11 juta penerima, EPF i-Lestari adalah RM17.7 bilion dan 5.1 juta penerima dan Geran Khas Prihatin pula sebanyak RM3.55 bilion yang diberikan kepada 900,000 penerima,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pembentangan Sorotan Kejayaan dan Pencapaian Setahun Kementerian Kewangan di kementeriannya di sini baru-baru ini.

Pembentangan laporan itu sempena Pencapaian Malaysia Prihatin Kementerian Kewangan di bawah Kerajaan Perikatan Nasional.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berucap pada Setahun Malaysia Prihatin di Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya. Foto SYAFIQ AMBAK, 06 MAC 2021.

Mengenai impak ekonomi, Tengku Zafrul memberitahu, peningkatan aktiviti menunjukkan 24 peratus lebih tinggi dengan Kadar Dalam Negara Keluaran Kasar (KDNK) telah mencatatkan RM357.4 bilion pada suku keempat tahun lalu berbanding suku kedua tahun yang sama.

Tambah beliau, menurut Bank Dunia, KDNK dijangka meningkat pada kadar 5.6 peratus hingga 6.7 peratus pada tahun ini.

“Kerajaan telah berdepan cabaran utama pada tahun lalu apabila kadar pengangguran rakyat meningkat kepada 5.3 peratus pada Mei tahun lalu selain lebih 50 peratus rakyat mengalami penurunan pendapatan dan simpanan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0.

“Dari segi perniagaan, sebanyak 67.8 peratus syarikat tiada jualan atau hasil semasa PKP 1.0, 53.4 peratus syarikat tidak mampu bertahan lebih daripada dua bulan dan 79.5 peratus perniagaan ditutup sementara semasa PKP 1.0.

“Dari segi ekonomi pula, KDNK telah menguncup 5.6 peratus pada tahun lalu sektor pembinaan mengalami penurunan sepanjang empat suku dengan nilai penguncupan tertinggi sebanyak 44.5 peratus pada suku kedua.

“Turut mengalami penurunan adalah sektor perlombongan dan pengkuarian dengan nilai tinggi 20 peratus pada suku yang sama,” katanya.

berdepan pelbagai cabaran yang memberi impak kepada rakyat, perniagaan dan ekonomi sepanjang tahun 2020.

– MalaysiaGazette