Calon SPM antara ditahan merempit bersama pelajar sekolah di Teluk Intan, Perak.

IPOH – Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditahan merempit bersama rakannya dalam Ops Samseng Jalanan di Jalan Labu Kubong, Teluk Intan awal pagi tadi.

Suspek berusia 18 tahun serta rakannya berusia 15 tahun ditahan sepasukan polis ketika menunggang motosikal sambil melakukan aksi berbahaya di atas jalan raya.

Salah seorang daripada dua remaja termasuk calon SPM ditahan merempit dalam Ops Samseng Jalanan di Teluk Intan. Perak.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintendan Zakaria Abd Rahman berkata, hasil siasatan mendapati remaja berkenaan keluar rumah menggunakan alasan mahu berjumpa dengan kawan.

“Kedua-dua mereka menunggang motosikal jenis Honda EX-5 itu ditahan bukan saja kerana membahayakan diri sendiri malah pengguna jalan raya yang lain.

“Jarak rumah dengan lokasi mereka merempit tidak jauh iaitu kira-kira lima kilometer sebab itu mereka menggunakan alasan mahu berjumpa kawan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Kedua-dua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -MalaysiaGazette