Kebakaran kabel elektrik di Jambatan Pulau Pinang baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Kerja baik pulih kabel elektrik terbakar di bahagian bawah Jambatan Pulau Pinang dipendekkan seminggu dari jadual asal iaitu selama 118 hari.

Ketua Pegawai Grid Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ir. Husaini Husin berkata, jadual itu dipendekkan susulan kerja menanggalkan struktur sokongan kabel dan kabel rosak disiapkan dalam tempoh empat hari berakhir hari ini.

“Berdasarkan jadual terkini, tempoh kerja pembaikan oleh pihak TNB dan PLUS adalah 112 hari sahaja. Kami dapat memendekkan tempoh menanggalkan struktur sokongan kabel dan kabel rosak tujuh hari lebih awal.

“Ini juga membolehkan pihak PLUS menyegerakan siasatan berhubung keadaan struktur dan kerja-kerja baik pulih jambatan yang dijangkakan mengambil masa dua bulan,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Husni, kerja-kerja baik pulih kabel 132kV yang terbakar di Kilometer 3.2, Jambatan Pulau Pinang antara lain merangkumi penggantian tiga litar kabel yang musnah terbakar dengan kabel baru sepanjang kira-kira 100 meter.

“Selain itu TNB juga akan membuat kerja-kerja merentang kabel, penyambungan kabel (cable jointing) dan penggantian struktur sesalur kabel (wooden platform) yang musnah terbakar dengan yang baru.

“Kaedah perlaksanaan kerja oleh pihak TNB tidak mengganggu aliran trafik Jambatan Pulau Pinang. Akses kerja adalah melalui laut dan menggunakan barge daripada mula sehingga akhir pada 23 Jun 2021.”

Mengulas mengenai punca kebakaran kabel yang berlaku pada 22 Februari lalu itu, Husaini berkata, laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang mengatakan arka elektrik (electrical arc) pada kabel di KM3.2 dan terkena kayu pelantar menyebabkan pemanasan setempat.

“Berdasarkan maklumat pihak bomba, kejadian kebakaran bukanlah secara semula jadi atau khianat.

“Siasatan sedang dibuat bagi mengenal pasti punca pancaran arka tersebut,” kata Husaini.-MalaysiaGazette