Pemandu mabuk gagal melarikan diri selepas kereta dipandunya terbabas.

BUTTERWORTH – Tindakan seorang pemandu mabuk melarikan diri daripada sekatan jalan raya mengundang padah apabila kereta dipandunya terbabas di Taman Robina, Teluk Air Tawar di sini malam tadi.

Kejadian jam 12 tengah malam itu menyebabkan kereta jenis Mini Cooper dipandu lelaki berusia 48 tahun tersebut mengalami kerosakan akibat terlanggar sebuah kereta Perodua Myvi yang di parkir di tepi jalan.

Difahamkan, suspek memecut keretanya sejauh kira-kira lima kilometer sebelum terbabas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pihaknya menahan suspek ketika menjalankan Ops Mabuk di Kilometer 10.8 Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth, namun dia melarikan diri.

“Bagaimanapun, dia berjaya ditahan selepas kereta dipandunya itu terbabas ketika sampai di Taman Robina sebelum melanggar sebuah kereta yang diparkir di tepi jalan berkenaan.

“Hasil ujian saringan alkohol mendapati kandungan melebih yang dibenarkan iaitu 150 mg/100 ml,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Noorzainy berkata, polis menahan enam lelaki berusia 16 hingga 21 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan lumba haram di lebuh raya terbabit. – MalaysiaGazette