KUALA LUMPUR – Mohammad Zulfadhli Amban, graduan pendidikan khas Kolej Vokasional Keningau berjaya memenangi anugerah World Changer untuk bulan Mac 2021.

Persatuan Special Education Network and Inclusion Association (SENIA) memilih seorang penerima bagi pengiktiran tersebut setiap bulan.

Zulfadhli dipilh untuk menerima anugerah tersebut atas sumbangannya dalam bidang seni lukisan di peringkat negeri dan kebangsaan.

Pengumuman berkenaan kemenangan beliau boleh diakses melalui pautan laman sesawang https://www.seniainternational.org/mohammad-zulfadhli-bin-amban-march-2021-senia-world-changer-award-recipient/

Graduan jurusan pembuatan perabot ini pernah mewakili Sabah dalam pertandingan kebangsaan Abilympics yang dikhususkan untuk golongan istimewa.

Zulfadhli memilih untuk melukis corak batik semasa kejohanan tersebut dan ianya berjaya memukau para hakim dan pengunjung.

Usahanya memelihara warisan budaya melalui seni lukisan merupakan faktor utama dia dipilih sebagai penerima anugerah tersebut yang dikhususkan untuk komuniti pendidikan khas.

Sementara itu, Zuliany Abu Khalid, Ketua Jabatan Pendidikan Khas KV Keningau, menyatakan rasa bangga dengan pencapaian Zulfadhli yang mampu memberi inspirasi kepada golongan istimewa.

Pengarah kolej tersebut, Johari @ Jaibet Bin Sabin, juga memuji usaha pasukan pendidikan khas kolej tersebut yang sentiasa berusaha membuktikan kemampuan pelajar-pelajar berkeperluan khas dalam pelbagai bidang. – MalaysiaGazette