Muhammad Fazreen (kiri) menyerahkan memorandum kepada wakil UDA Land (North) di pejabat itu di Pulau Pinang.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Wira Putra Pulau Pinang hari ini, menyerahkan memorandum kepada UDA Land (North) Sdn. Bhd. berhubung isu tawaran penempatan semula penduduk Kampung Tanjung Tokong.

Memorandum itu diserahkan kepada wakil pegawainya di ibupejabat UDA Land (North) Bertam, Pulau Pinang untuk perhatian dan tindakan Ketua Pegawai Operasinya, Zainuddin Deni.

Menurut Ketua Wira Putra negeri itu, Muhammad Fazreen Johari, memorandum itu untuk mendapatkan penjelasan mengenai isu tawaran penempatan semula penduduk berkenaan ke Pangsapuri Penempatan Kekal Warisan Tanjung, Tanjung Tokong.

“Kita menerima aduan dari sekumpulan warga tempatan khususnya warga belia yang merupakan anak jati Tanjung Tokong, yang tercicir dan tidak menerima tawaran rumah ganti seperti sepatutnya.

“Manakala kos pembelian rumah juga berbeza-beza hingga ada yang perlu membeli rumah itu dengan kos mencecah RM80,000, sedangkan kediaman mereka diambil alih dan tidak mendapat pampasan setimpal,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Barisan kepimpinan Wira Putra Pulau Pinang selepas menyerahkan memorandum kepada CEO UDA Land (North) Sdn. Bhd.

Justeru, katanya, beliau memohon dan menggesa UDA Land (North) Sdn. Bhd. dapat mengadakan taklimat atau pertemuan bersama warga penduduk terlibat secara berkelompok bagi menjelaskan kriteria, kaedah pemilihan dan penetapan harga tawaran pembelian yang telah mereka laksanakan.

Ini kerana, ada nama penduduk tercicir dan merasakan ianya tidak setimpal.

Beliau mendakwa, majlis penerangan seperti itu tidak pernah diadakan secara menyeluruh, melainkan pertemuan secara tertutup bersama individu dan kumpulan tertentu menyebabkan terdapat mereka yang mendiami kawasan berkenaan tidak mendapat maklumat tepat dan ada yang tercicir.

“Sedangkan mereka telah menetap di kediaman itu lebih 10 tahun dan ini mendorong Wira Putra untuk membantah sekeras-kerasnya jika ada pihak cuba memanipulasi tawaran, sengaja mencicirkan nama atas apa jua sebab.

“Lebih menyedihkan, ada pihak tidak sepatutnya mendapat tawaran penempatan itu khususnya mereka yang bukan anak jati serta membesar di Tanjung Tokong,” katanya. – MalaysiaGazette