KUALA LUMPUR – Meskipun sudah tujuh tahun berlalu, kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing masih dalam ingatan masyarakat negara ini.
Sehingga hari ini, misteri kehilangannya pesawat Boeing B777Â pada 8 Mac 2014 masih belum terungkai cuma hanya beberapa serpihan ditemui di Lautan Hindi.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati rata-rata masyarakat memahami keperitan yang dialami waris mangsa kerana kehilangan orang tersayang.
Namun mereka masih tertanya-tanya jika pesawat itu terhempas di mana bangkainya?
Bagi E. Vinayagabaalan, 30, beliau menganggap tragedi  pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu bukan satu yang mudah dilupakan lebih-lebih lagi ia kekal misteri sehingga hari ini.
Misteri yang padanya membawa satu kekecewaan besar kepada negara.
“Apa yang terjadi ini merupakan satu kekecewaan yang besar, hendak cerita tentang ini pun susah sebab satu dunia masih tertanya-tanya ke mana hilangnya. Saya juga masih tertanya-tanya, jadi kerajaan perlu terus mencari kemungkinan perlu tingkatkan usaha pencarian.
“Jika pencarian diteruskan dan ada yang berjaya dijumpa petunjuk, ia mungkin akan meningkatkan keyakinan orang untuk menaiki pesawat.
“Dalam masa lima atau 10 tahun kalau masih tidak dijumpai atau tiada jawapan ke mana pesawat itu hilang ia akan kekal jadi misteri bukan sejarah untuk dikenang,” katanya.
Hari ini tujuh tahun yang lalu, pesawat yang baharu sahaja berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selama sejam sejak 12.41 pagi, tiba-tiba hilang dari radar.
Seluruh mata di dunia antarabangsa pada waktu itu tertumpu kepada Malaysia berbulan-bulan lamanya dan Malaysia diselubungi kesedihan pada waktu itu.
Memahami perasaan setiap keluarga mangsa, Yati Mokhdi, 52, bersetuju kesediaan kerajaan untuk memulakan semula perbincangan bagi meneruskan pencarian semula pesawat MH370 itu.
Perasaan ingin tahu apa yang sebenarnya berlaku kepada pesawat itu sehingga mengakibatkan ratusan penumpang hilang tanpa punca, setidak-tidaknya memberi kelegaan kepada setiap keluarga mangsa.
“Kalau saya keluarga mangsa, saya sudah tentu mahu juga tahu kalau jatuh, jatuh di mana? Kalau bangkai itu ada tulanglahkan, kalau lama-lama mungkin sudah tiada.
“Tapi mahu tahu di mana jatuh, negara mana. Untuk beri kelegaan,” tambahnya.
Senada dengan Yati, Nuratikah Azhar, 29, pula berkata, tidak ada seorang pun rakyat Malaysia yang akan boleh tenang selagi jawapan kepada kehilangan pesawat itu tidak diketahui.
“Sebab pesawat itu pun hilang begitu sahaja. Kalau saya jadi keluarga mangsa pun saya tidak akan puas hati. Jadi saya sudah tentu mahu pencarian diteruskan,” katanya yang secara peribadi mahu melihat usaha mencari pesawat berkenaan diteruskan.
Untuk rekod, semalam, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, pihaknya bersedia meneruskan kerjasama triparte dengan kerajaan Australia dan China untuk menjejaki lokasi kehilangan pesawat yang dinaiki 239 penumpang termasuk kru kabin pada tujuh tahun lalu.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: