Khairy Jamaluddin Abu Bakar (kanan) bersama Dr Adham Baba pada sidang media di Putrajaya hari ini.

KUALA LUMPUR – Malaysia memuktamadkan untuk menerima sejumlah 32 juta dos vaksin Pfizer-BioNTech iaitu tambahan tujuh juta dos lagi untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, jumlah itu mampu menampung 50 peratus daripada populasi penduduk di negara ini.

Beliau berkata, perkara tersebut hasil rundingan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba yang akan ditandatangani minggu ini dan dihantar sepanjang tahun 2021.

Rundingan asal dibuat adalah untuk 20 peratus dan tambahan kepada 39 peratus daripada populasi.

“Kini kita muktamadkan untuk dapatkan bekalan vaksin itu sehingga 50 peratus daripada populasi rakyat di negara ini,” katanya pada sidang media Perkembangan PICK secara maya hari ini. .

Dalam pada itu, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, pihak Pfizer dan BioNTech turut menawarkan sebanyak 20 peratus dos tambahan vaksin itu kepada Malaysia.

“Bagaimanapun, perkara itu masih lagi dalam rundingan dan tawaran itu sedang dalam pertimbangan kerajaan sama ada ia perlu ditambah ataupun tidak,” katanya.

Sementara itu, beliau menambah, sebanyak 200,00 vaksin Covid-19 Sinovac akan diterima negara pada 15 dan 19 Mac ini dan akan digunakan sepenuhnya dalam fasa pertama PICK.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, tiada sebarang kesan sampingan yang serius kepada petugas barisan hadapan yang telah menerima suntikan fasa satu, vaksin Covid-19.

Jelas beliau, seramai 139,722 petugas barisan hadapan yang menerima suntikan imunisasi tidak menunjukkan kesan yang membimbangkan.

“Pemantauan yang dikesan mendapati tiada perkara yang serius dan tidak akan kes yang serius dilaporkan.

“Ini menunjukkan kesan suntikan vaksin terbabit selesa malah kesan yang dikesan hanyalah sakit di lengan dan sakit biasa sahaja,” jelasnya. – MalaysiaGazette