KUALA LUMPUR – Kegiatan sindiket judi dalam talian yang menjadikan kondominium mewah di Jalan Perak, di sini, sebagai pusat panggilan terbongkar dengan tertangkapnya 44 individu pada satu serbuan yang dilakukan malam semalam.

Selain itu, sindiket tersebut turut menjalankan penipuan pelaburan secara dalam talian.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, sindiket yang menyasarkan warga Taiwan dan China itu menggunakan aplikasi WeChat untuk menarik pelanggan luar negara.

“Premis penthouse mewah yang diserbu ini dipercayai dijadikan sebagai customer service dan telah beroperasi sejak bulan Ogos tahun lalu dengan kadar bayaran sewa sebanyak RM15,000 sebulan.

“Sindiket ini menggaji pekerja warga tempatan dengan gaji lebih kurang RM2,000 sebulan untuk mengawal dan memantau dari 12 tengahari hingga 10 malam di sekeliling bangunan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad Zainal, dalam serbuan yang dilakukan yang dilakukan oleh Bahagian D7 Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wang pada jam 8 malam semalam hingga 1.30 pagi tadi, sebanyak 22 buah komputer riba, 53 unit komputer, 286 buah telefon bimbit pelbagai jenama, sekeping kad sim dan satu kad akses dirampas.

Tambah beliau, kesemua suspek, termasuk tujuh wanita, yang berusia antara 17 hingga 41 tahun itu kini dalam proses direman untuk membantu siasatan dan tindakan lanjut.

Katanya, mereka disiasat di bawah Seksyen 4(1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Mohamad Zainal berkata, kesemua suspek juga dikenakan kompaun di bawah Peraturan 18 Akta 342 PPPDPPB (No.4) (2021) iaitu terlibat dalam aktiviti dengan kehadiran yang ramai sehingga menyukarkan untuk melaksanakan penjarakan fizikal dan pematuhan arahan Ketua Pengarah Kesihatan.

Ujarnya, serbuan turut disertai Pegawai Unit D10 (Forensik Bukit Aman), Pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette