Seramai 19 PATI yang cuba melarikan diri ke Indonesia naik bot menerusi jalan haram negara ini berjaya ditangkap dalam tiga siri tangkapan awal pagi tadi.

KUALA LUMPUR РSekumpulan 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba pulang ke Indonesia secara haram menerusi perairan  Johor ditahan pasukan tentera hari ini.

Kesemua PATI itu ditahan dalam tiga siri tangkapan pada jam 4.10 pagi hingga 11.40 pagi tadi.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) Kem Terendak Melaka dalam kenyataan berkata, kejadian berlaku di sektor Op Benteng di bawah kawalan Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged).

“Pasukan telah menerima maklumat daripada Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai pergerakan PATI berhampiran Pantai Desaru.

“Bertindak atas maklumat tersebut, pasukan telah mengatur gerak Tim Quick Reaction Force (QRF) bersama pasukan dron dari Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) untuk mengepung kawasan berkenaan.

“Hasil serbuan yang dilakukan pada jam 3.30 pagi telah berjaya menahan sekumpulan 12 orang PATI yang sedang bersembunyi 200 meter dari Desaru Holiday Chalet Seaview,” kata kenyataan yang sama.

Malah serbuan susulan turut dilancarkan di kawasan itu sekitar jam 4 pagi setelah mendapat maklumat daripada pasukan dron yang mengesan pergerakan manusia secara meragukan di tepi pantai Westin Desaru Coast Resort.

Susulan pemeriksaan di lokasi itu, pasukan QRF telah berjaya menahan tiga lagi PATI sebelum disusuli empat lagi di lokasi sama pukul 7.50 pagi dan 11.40 pagi.

“Keseluruhan 19 PATI yang ditahan itu terdiri daripada 18 orang lelaki dan seorang wanita berusia sekitar 17
hingga 55 tahun manakala siasatan mendapati kesemua mereka dipercayai sedang menunggu bot untuk dibawa keluar dari negara ini untuk pulang ke negara asal secara tidak sah,” katanya.

Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM 51,704.21 melibatkan wang tunai RM 28,271.20 dan mata wang Indonesia IDR 19,489,600.00 Rupiah bersamaan RM5,553 bersama telefon bimbit, jam tangan serta pelbagai jenis barangan kemas.

“Kesemua PATI itu telah dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang dilibatkan dalam pemeriksaan dan saringan
Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai.

“Pasukan QRF akan terus memburu dan menjejaki kemungkinan saki-baki PATI yang bersembunyi di sekitar kawasan
tersebut,” kata kenyataan yang sama.- MalaysiaGazette