Gambar hiasan

PENAWAN mengucapkan “Selamat Hari Wanita” kepada wanita seluruh Malaysia sempena
meraikan Hari Wanita Antarabangsa 2021 bagi menghormati hak dan mengiktiraf sumbangan dan pencapaian wanita di seluruh dunia.

Hari Wanita Antarabangsa bermula dengan tujuan untuk menghapuskan diskriminasi
terhadap wanita dan mencapai kesaksamaan gender. Matlamat ini belum tercapai
sepenuhnya, maka tema hari wanita antarabangsa pada tahun ini ialah #choose to challenge, #pilih untuk mencabar.

Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga memilih “Wanita bangkit mendepani
cabaran.” Tema dipilih bagi mengangkat semangat juang wanita yang tidak mengenal penat lelah dalam mengharungi cabaran kehidupan.

PENAWAN memilih tagline #pilihjatidiri untuk mengekalkan integriti dan maruah diri sama ada dengan mencabar atau dicabar bagi membuat perubahan dalam diri, masyarakat dan negara.

Dunia yang dicabar adalah dunia yang berwaspada. Daripada cabaran lahirnya perubahan.
Melakukan perubahan perlukan kecekalan dan keberanian.

Bukan keberanian yang melulu tapi berbekalkan perkiraan yang rasional, negosiasi yang tidak berat sebelah dan punya jati diri dan bermaruah.

Secara individu, kita adalah bertanggungjawab terhadap semua pemikiran dan tindakan kita, sepanjang masa, setiap hari.

Kita boleh memilih untuk membetulkan dan mengecam kepincangan gender dan
ketidakadilan gender.

Kita semua boleh memilih untuk menghargai dan meraikan pencapaian
wanita.

Secara kolektifnya, kita semua boleh membantu membina dunia yang saksama dan
inklusif demi kehidupan yang lebih seimbang dan sejahtera.

Sehubungan itu Penawan menegaskan perkara berikut;
1. Kebangkitan wanita bukan untuk menjatuhkan lelaki dan setiap warganegara boleh
memainkan peranan dalam membentuk kesaksamaan gender
2. Keseimbangan gender bukan semata-mata isu wanita, tetapi juga isu ekonomi.
3. Kesaksamaan gender merangkumi cara pelayanan yang saksama terhadap kelompok
tertentu. Contohnya dalam menangani isu keutamaan dalam proses vaksinasi seluruh
Negara. Frontliners seperti pegawai perubatan, jururawat, paramedik, juruteknik
peralatan di hospital lebih berhak mendapat keutamaan untuk vaksinasi. Tidak ada
pilih kasih antara mereka dengan orang atasan/kenamaan.
Kesaksamaam gender juga peka terhadap integriti (baca isu rasuah), maka Penawan:

1. Menyarankan pihak berwajib dan ahli politik lebih tegas menghapuskan rasuah dalam
politik dan tidak mempolitikan rasuah.
2. Menyokong saranan untuk membanteras rasuah oleh Datuk Hussamuddin Yaacub,
Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf.
3. Memberikan kerjasama kepada Rasuah Buster dalam usaha pencegahan rasuah dan
memberikan pendidikan dan kempen kesedaran melalui penulisan kepada
masyarakat.
4. Menyarankan kepada ahli poiltik mengekalkan integriti dalam menjuarai
permasaalahan rakyat, tidak mudah melompat parti (baca menukar kesetiaan) kerana
wang ringgit, jawatan dan janji manis masa depan.

Semoga Hari Wanita Antarabangsa pada tahun ini lebih memberikan tenaga baru kepada
wanita dalam memelihara integriti dan mempertahankan jati diri yang murni dalam dunia yang mencabar. Demi membangunkan Negara yang saksama, adil makmur dan sejahtera.

Ir Endok Sempo binti M Tahir
Pengerusi
Pertubuhan Penulis Isu-Isu Wanita Nasional (PENAWAN)