Ahmad Zahid salah seorang daripada pemimpin UMNO yang kini dalam proses perbicaraan kes di mahkamah selain bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.

KUALA LUMPUR – Lebih tiga juta ahli dan penyokong UMNO tahu ‘Kluster Mahkamah’ merupakan pembela parti.

Itu kata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam hantaran Facebooknya malam ini mengulas terminologi kluster dalam parti yang digunakan ramai penganalisis politik.

“Alhamdulillah ahli dan penyokong UMNO faham apa yang dialami oleh ‘Kluster Mahkamah’. Mereka tahu siapapun yang memimpin UMNO masa itu berpotensi ‘di-Kluster Mahkamah-kan’,” katanya yang juga Pengerusi Barisan Nasional.

Jelas Ahmad Zahid, mereka kata ‘Kluster Mahkamah’ sila berundur konon demi selamatkan UMNO.

“Tetapi hairan rata-rata mereka ini penyokong ‘Kluster Kuasa’. Mereka yang anti-UMNO. ‘Kluster Cari Makan’ yang juga dikenali sebagai ‘Kluster Broker’ tambah garam.

“Mujur ahli dan penyokong UMNO dapat hidu tipu muslihat kluster-kluster ini.

“Golongan berkecuali atas pagar pun nampak agenda dua kluster ini. Inikan zaman media sosial,” tulisnya lagi.

Katanya, mereka tahu sebab itu ‘Kluster Kuasa’ dan ‘Kluster Broker’ bersungguh-sungguh menghasut iaitu berusaha meracuni fikiran mereka supaya menolak pemimpin ‘Kluster Mahkamah’.

“’Kluster Kuasa’, ‘Kluster Broker’ bimbang UMNO sedang bangkit dengan kekuatan sendiri. ‘Kluster Kuasa’ bimbang kuasa dalam genggaman terlepas. ‘Kluster Broker’ takut hilang jawatan dan kedudukan,” katanyaa Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Terdahulu, Ahmad Zahid menegaskan tiada sebarang kluster dalam kepimpinan UMNO.

“Apatah lagi, akar umbi UMNO mahu supaya UMNO terus berpadu tanpa sebarang perpecahan, biarpun perbezaan pendapat tetap diraikan.

“Namun, tafsiran terdapat wujudnya pelbagai ‘kluster’ mengikut penganalisis politik tidak dapat dielakkan,” katanya.

Ahmad Zahid salah seorang daripada pemimpin UMNO yang kini dalam proses perbicaraan kes di mahkamah selain bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak. – MalaysiaGazette