Gambar hiasan, foto agensi

WASHINGTON – Kesan Covid-19 ke atas wanita di beberapa negara boleh menyebabkan tambahan 10 juta perkahwinan kanak-kanak pada dekad ini.

Menurut kajian baharu yang dikeluarkan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), kesan penutupan sekolah, tekanan ekonomi, gangguan perkhidmatan, kehamilan dan kematian ibu bapa akibat pandemik menyebabkan kanak-kanak perempuan paling terdedah dan berisiko terjebak dalam perkahwinan.

Dapatan itu dikeluarkan dalam kajian bertajuk ‘Covid-19: Ancaman terhadap Kemajuan Atasi Perkahwinan Kanak-kanak’, susulan pada Hari Wanita Antarabangsa, semalam.

UNICEF bekata, jika diteruskan ia boleh membawa kemudaratan serius daripada aspek kemajuan yang dicapai sejak beberapa tahun ini dalam usaha membanteras perkahwinan kanak-kanak.

Menurut kajian itu, kanak-kanak perempuan yang berkahwin pada usia terlalu muda akan lebih cenderung mengalami keganasan rumah tangga dan tidak bersekolah.

“Mereka juga didapati menghadapi risiko kehamilan tidak dirancang yang lebih tinggi serta komplikasi dan kematian ketika melahirkan anak.

“Selain itu, pengasingan daripada keluarga dan rakan-rakan boleh menyebabkan keadaan mental lebih teruk,” tambah laporan itu.

Kajian itu juga mendapati, keluarga yang menghadapi kesulitan ekonomi akan berusaha mengahwinkan anak perempuan mereka untuk meringankan beban kewangan.

Sebanyak 650 juta wanita dan kanak-kanak perempuan dianggarkan berkahwin pada usia kanak-kanak, dengan separuh daripadanya di Bangladesh, Brazil, Habsyah, India serta Nigeria. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast