Juruteknik akses tali wanita melakukan kerja penyelenggaraan bangunan ketika tinjaun lensa Malaysia Gazette sempena Hari Wanita Sedunia 2021 di Seri Kembangan. Foto HAFIZ SOHAIMI, 08 MAC 2021.

HARI Wanita Sedunia telah mula disambut pada awal tahun 1900 yang mana perkembangan industri yang pesat menyaksikan populasi meningkat dengan mendadak. Tahun demi tahun berlalu, wanita di Amerika Syarikat menyaksikan penindasan dan ketidak adilan sosial berlaku ke atas diri mereka sehinggakan dalam tahun 1908, seramai 15,000 wanita telah mengambil bahagian di dalam perarakan bagi menuntut hak untuk bekerja lebih singkat, gaji yang lebih baik dan hak untuk mengundi.

Tahun 1911 menyaksikan sambutan Hari Wanita Sedunia yang pertama di Austria,
Denmark, German dan Switzerland di mana lebih 1 juta wanita telah berhimpun bagi menuntut hak-hak mereka. Sehingga kini, umum telah menyaksikan perubahan dan anjakan paradigma yang signifikan berkenaan hak kesaksamaan dan pembebasan wanita daripada pelbagai aspek.

Wanita kini telah mula mengisi jawatan pentadbiran, mempunyai hak di dalam undang-undang dan mula dikenali sebagai seseorang yang boleh menjadi pemimpin yang disegani.

Dalam Islam, hak wanita telah lama diletakkan di tempat yang tinggi jika dibandingkan
dengan hak wanita sebelum kedatangan Islam. Dahulu, wanita tiada hak dalam masyarakat. Kedudukan wanita berada di tahap yang paling rendah, di mana mereka didiskriminasikan dari segi hak dan cara hidup mereka sehinggakan dalam perkahwinan juga wanita menjadi seolah-olah hamba abdi yang dimiliki secara jual beli melalui akad nikah, kecuali mereka yang datang dari golongan bangsawan.

Mereka daripada golongan bangsawan ini dipelihara dan dihormati sehingga masyarakat Arab sanggup berperang bagi mempertahankan kehormatan wanita daripada golongan bangsawan ini.

Islam hadir dan menjulang kedudukan wanita sebagai seorang insan, isteri, ibu dan ahli
masyarakat. Wanita bukan lagi sekadar penyambung zuriat, malah turut bersama-sama di medan pertempuran menghunus senjata seiring dengan kaum lelaki. Rasulullah SAW juga turut mengambil kira pandangan daripada kaum wanita dalam hal-hal yang berkaitan dengan fiqh wanita. Ini membuktikan peri pentingnya dan tingginya kedudukan wanita di dalam Islam. Islam telah mengangkat darjat wanita ke tempat yang paling tinggi berbanding tamadun yang lain.

Wanita juga turut diberikan hak yang saksama, membuktikan bahawa Islam mengiktiraf kewujudan wanita dalam masyarakat. Persepsi atau pandangan negatif terhadap wanita dalam masyarakat adalah tidak lain dan tidak bukan disebabkan oleh kejahilan manusia itu sendiri tentang hakikat kewujudan manusia.

Dalam era global ini, wanita begitu lantang memperjuangkan hak mereka. Dalam Islam, tidak salah untuk kita menuntut hak selagi ianya selari dengan syariat Islam dan tidak bercanggah dengan apa yang telah diturunkan melalui Al-Quran dan as-Sunnah. Kedudukan wanita dari sudut kemanusiaan dan hubungan dengan Tuhan membuktikan bahawa wanita itu tidaklah lebih hina berbanding lelaki.

Sebarang ibadat yang dilakukan oleh seorang wanita juga turut mendapat ganjaran yang setimpal walaupun dilakukan dalam situasi yang berbeza, contohnya seorang
wanita yang solat di rumah untuk mengelakkan fitnah mendapat ganjaran yang serupa dengan seorang lelaki yang solat berjemaah di masjid.

Pemerkasaan wanita dalam Islam adalah selari dengan kemuliaan wanita itu sendiri, yang
mana seseorang wanita itu perlulah memperkasakan diri mereka dengan pelbagai ilmu dan kepakaran bagi mempersiapkan diri mereka mengharungi arus pemodenan dan peredaran zaman.

Antara ilmu yang penting untuk dipelajari oleh wanita bagi memperkasakan diri mereka
termasuklah ilmu kesihatan, hak wanita di dalam Islam dan undang-undang, ilmu kewangan dan pelbagai jenis ilmu yang sesuai dengan keperluan zaman sekarang. Ini adalah perlu bagi memastikan wanita tidak mudah diperdaya atau termakan tipu muslihat.

Dewasa ini keadaan wanita dalam pelbagai sektor adalah jauh lebih baik berbanding
setengah abad yang lalu. Wanita telah banyak mempelopori bidang yang sebelum ini hanya didominasi oleh kaum lelaki. Jawatan tertinggi di syarikat-syarikat milikan kerajaan dan swasta sudah mula menyaksikan nama-nama wanita mengisi ruang utama carta organisasi pelbagai industri. Wanita sudah mula diiktiraf sebagai sebahagian daripada faktor pemangkin pembangunan negara dalam pelbagai sektor termasuklah ekonomi, sosial, perkhidmatan, pendidikan dan sebagainya.

Tidak dinafikan masih banyak lagi ruang yang boleh diperbaiki dalam konteks
kesaksamaan hak wanita terutama dalam bidang pekerjaan. Masih terdapat sebahagian sektor yang masih mendiskriminasikan hak wanita untuk memegang jawatan-jawatan tertinggi. Masih banyak ruang untuk penambahbaikan dalam pelbagai segi.

Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa pembangunan jati diri dan pemerkasaan wanita
bukanlah sesuatu yang harus dipandang enteng malahan ianya perlu diteraskan kepada modal insan yang menyeluruh dan dipandu oleh batas-batas agama dan syarak. Ini sesuai dengan peranan wanita sebagai tunjang masyarakat di sisi kaum lelaki, masing-masing mempunyai tanggungjawab yang sama dalam masyarakat dan akan diberi ganjaran yang setimpal.

Ini sesuai dengan firman Allah dalam ayat 9 dari surah at-Taubah yang bermaksud, “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain, mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan, dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa, lagi Maha Bijaksana.”

 

Dr Jannatul Madihah binti Abu Bakar
Setiausaha WARAK Writers Pool, Exco Wanita Remaja dan Kanak-kanak,
Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA).

Dr Aspalilah Alias
Pensyarah Anatomi, Fakulti Pergigian, USIM
Exco Wanita Remaja dan Kanak-kanak (WARAK),
Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA).