MARAN – Pengurusan kewangan negeri yang efisyen dan stabil membolehkan kerajaan negeri Pahang mengagihkan wang ihsan banjir kepada penduduk yang terkesan daripada bencana alam tersebut.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, setakat ini hampir 90 peratus, mereka yang terkesan daripada banjir telah menerima bantuan tersebut.

Katanya, kumpulan akhir di Temerloh menerima bantuan tersebut akan dilakukan pada petang ini.

Secara keseluruhannya, tambah beliau, seramai 18,000 keluarga di Pahang terkesan akibat banjir lalu dan keraajaan negeri memperuntukkan belanja sebanyak RM9.3 juta.

“Hasil lebihan pengurusan kewangan negeri yang baik dapat diagihkan kepada rakyat seperti elaun, bonus, dan wang ihsan banjir.

“Sebulan RM50 juta diperuntukkan perbelanjaan negeri dan RM30 juta gaji penjawat awam, maka perlu cari duit untuk Pahang tanpa membebankan rakyat.

“Kerajaan negeri kena urus duit, tak boleh mengharapkan bantuan lain sebaliknya kena berdikari.

“Apabila ditimpa bencana, kita boleh bantu rakyat kita dahulu,” katanya ketika ditemui media di Majlis Penyerahan Wang Ihsan Di Dewan Komuniti Kampung Jara di sini hari ini.

Hadir pada majlis Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Hajah Shahaniza Shamsuddin.

Pada majlis tersebut beliau menyerahkan bantuan wang ihsan itu kepada 161 buah keluarga.

Sementara itu, seorang penerima bantuan ihsan ketika ditemui berkata, pengalaman menjadi mangsa banjir kali pertama sejak 30 tahun tinggal di Maran menyifatkan bantuan tersebut membantu meringankan beban keluarga.

Abdul Aziz Cha, 54 tahun yang menetap di Kampung Jara berkata: Terima kasih kerajaan memberi wang ihsan banjir, cukup bersyukur boleh buat belanja, dan beli-beli barang.”

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Jara, Arahan Khalil Abdullah berkata, keprihatinan Kerajaan Negeri sangat dihargai penduduk kampung.

“Banjir 3 Januari lalu genap 50 tahun peristiwa banjir berlaku di sini menyebabkan penduduk kampung kehilangan banyak harta benda,” tambah beliau. – MalaysiaGazette