Polis merampas syabu bernilai hampir RM3 juta dalam beberapa serbuan termasuk sebuah kilang di sekitar Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Tindakan sindiket pengedaran dadah menjadikan sebuah kilang sebagai makmal memproses bahan terlarang itu berjaya dibongkarkan selepas polis menahan empat lelaki semalam.

Serbuan bermula jam 7.30 malam di sekitar Bukit Mertajam dan Lebuh Pantai itu membawa kepada penemuan dadah jenis syabu bernilai hampir RM3 juta.

Bertindak atas maklumat dan risikan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang diketuai Inspektor Mohd Khalq Mohd Salleh dan pegawai penyiasat Inspektor Norhafizah Hasim menahan seorang lelaki di tepi Jalan Persiaran Impian, Bukit Mertajam sebelum membawa kepada penemuan makmal haram itu.

Sebuah kilang di kawasan Machang Bubuk dijadikan makmal proses dadah dibongkar pihak polis semalam.

Sumber MalaysiaGazette memberitahu, berpandukan maklumat daripada suspek, polis menyerbu sebuah kilang di Machang Bubuk sebelum menahan dua lelaki dipercayai ahli sindiket.

“Dalam serbuan itu, polis merampas 66 kilogram syabu serta pelbagai peralatan memproses syabu termasuk bahan kimia.

“Hasil soal siasat mendapati sindiket itu menjalankan kegiatan memproses dadah sejak Ogos lalu,” kata sumber ketika dihubungi hari ini.

MalaysiaGazette difahamkan, beberapa kenderaan termasuk Toyota Vellfire turut dirampas dalam serbuan yang sama.

Kesemua mereka yang berusia lingkungan 40 hingga 49 tahun itu kini ditahan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan pembongkaran makmal dadah tersebut.

“Saya sahkan ada tangkapan dan rampasan dadah namun sidang akhbar berhubung kejayaan itu akan dibuat Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Shahabudin Abd Manan dalam tempoh terdekat,” kata Razarudin. MalaysiaGazette