NUTP

KUALA LUMPUR – Cadangan agar semua cuti penggal persekolahan tahun ini dibatalkan mendapat bantahan tegas dari Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).

Kesatuan itu berpendapat, wajar bagi Kementerian Pendidikan tidak melayan cadangan berkenaan, sebaliknya kekalkan takwim persekolahan yang telah ditetapkan sebelum ini.

Menurut Presidennya, Amiruddin Awang, yang mengemukakan cadangan itu hanya melihat dari aspek murid sahaja, tidak dari segi keseluruhan termasuk pihak guru.

“Kalau mereka minta batalkan semua cuti penggal, maknanya guru tidak akan bercuti sepanjang pembelajaran tahun ini.

“Ketika sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tempoh hari pun, guru bukan bercuti, mereka bekerja dan masih terikat dengan peraturan kerja,” katanya di sini, hari ini.

Beliau mengulas cadangan Permuafakatan Ibu bapa Malaysia (Mimbar) yang meminta Kementerian Pendidikan membatalkan semua cuti penggal persekolahan tahun ini.

Yang Dipertuanya, Datin Seri Ismalina Ismail dilaporkan berkata, ini bagi memberi peluang kepada pelajar untuk belajar semula subjek yang tertinggal sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bahkan, beliau mendakwa, kebanyakan ibu bapa menganggap cuti penggal persekolahan tahun ini kurang signifikan kerana guru dan pelajar sudah lama berada di rumah.

Amiruddin Awang

Mengulas lanjut, Amiruddin berkata, apabila sesi persekolahan secara bersemuka dibuka, maka ibu bapa dan orang ramai harus menyerahkan kepercayaan kepada guru untuk menguruskan pelajaran yang tertinggal.

Katanya, guru mempunyai kemahiran dan terlatih, malah akan berusaha memperbaiki apa sahaja sesi pembelajaran yang tertangguh sebelum ini.

Beliau turut meminta, ibu bapa memberi ruang secukupnya kepada guru, bukan berfikir dari sudut pandangan luar sahaja.

“Kena fikir juga dari pandangan guru. Mereka tidak akan duduk diam. Mereka mesti mahu anak muridnya berjaya dalam pelajaran,” katanya. – MalaysiaGazette