Seorang wanita berjalan menggunakan payung berikutan cuaca panas ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Jalan Ampang, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 08 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Permintaan elektrik bagi Semenanjung Malaysia melonjak kepada 18,035 megawatt (MW) pada 2 Mac 2021, berbanding 17,501MW pada bulan Februari dan 16,585MW pada bulan Januari lalu disebabkan taburan hujan yang agak rendah sejak Februari lalu, diikuti gelombang haba baru-baru ini.

Permintaan yang tinggi ini dicapai ketika ekonomi negara masih dalam fasa pemulihan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan dan PKP Bersyarat (PKPB).

Untuk rekod, permintaan puncak tertinggi direkodkan negara adalah 18,808MW pada 10 Mac 2020, lapan hari sebelum PKP mula dilaksanakan.

Cuaca panas dijangka berterusan hingga pertengahan bulan Mac dan Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran gelombang haba tahap berjaga-jaga dengan suhu antara 35 hingga 37 darjah Celcius di Chuping (Perlis), Kota Setar (Kedah), Alor Gajah (Melaka) dan Tangkak (Johor).

Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata, permintaan elektrik yang tinggi ini antara lain didorong oleh penggunaan penyaman udara yang lebih kerap dan tempoh yang panjang,

Selain itu, kompresor sistem penyejuk pada sebarang perkakas elektrik terpaksa bekerja lebih kuat dan perlu menggunakan tenaga dengan lebih banyak bagi mengekalkan paras suhu yang sejuk ketika cuaca panas.

Penggunaan elektrik dapat dijimatkan jika penggunaan penyaman udara dapat dioptimumkan dengan menetapkan suhu penyaman udara antara 24 hingga 26 darjah Celcius dan menutup tingkap dengan langsir yang tebal supaya haba tidak masuk, seterusnya membebankan pendingin hawa pada siang hari.

Penjimatan juga dapat dinikmati menerusi penggunaan pemasa untuk menutup penyaman udara pada awal pagi, dari jam 2 pagi ke atas (ketika cuaca mulai sejuk) dan memasang kipas untuk mengekalkan suhu sejuk dan pengedaran udara di dalam bilik.

Senggaraan terhadap penyaman udara secara berkala pula dapat memastikan ia berfungsi dengan lebih efisien dan menjimatkan.

Selain itu, elakkan daripada membuka pintu peti sejuk dengan kerap dan untuk tempoh yang lama.

TNB menambah, pengguna yang berhasrat untuk membeli peralatan elektrik yang baru dinasihatkan memilih perkakas elektrik berpandukan label Kecekapan Tenaga oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).

Peralatan berlabel cekap tenaga 4 atau 5 bintang lebih menjimatkan penggunaan elektrik.

Pengguna juga boleh membuat kiraan penggunaan perkakas elektrik menggunakan kalkulator tenaga di rumah (Home Energy Calculator) di laman web myTNB menerusi www.mytnb.com.my/energy-efficiency/home-energy-savings-tips/home-energy-calculator.

Anggaran pengiraan ini adalah berdasarkan keadaan peralatan yang berfungsi dengan sempurna.

Kecekapan peralatan akan berkurangan semakin lama ia digunakan berikutan faktor usia, katanya. – MalaysiaGazette