Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin melihat jururawat memberi suntikan vaksin kepada Pembantu Perubatan Kesihatan PPUM, Muhammad Amirul Malek,30 ketika lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Jalan Universiti Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 09 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan mempertimbangkan pemberian sijil pengecualian kepada individu-individu yang tidak boleh menerima vaksin Covid-19.

Sijil versi digital tersebut adalah bagi mereka yang disahkan tidak boleh menerima suntikan vaksin kerana mempunyai alahan dan masalah imunisasi yang serius.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin kepada media selepas sesi lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) hari ini.

Sementara itu, ditanya mengenai pasport vaksin sebagai dokumen pengesahan individu yang ingin melakukan perjalanan antarabangsa, Khairy berkata, kerajaan masih memperhalusi cadangan untuk memberikan sijil digital.

Menurut beliau, sijil digital akan diberikan kepada penerima suntikan vaksin tersebut melalui aplikasi MySejahtera selepas dos kedua diterima.

“Maklumat daripada sistem itu akan diberikan kepada WHO dan negara-negara lain supaya mereka dapat mengiktiraf sistem kita.

“Itu dapat digunapakai sebagai bukti bahawa rakyat di Malaysia telahpun menerima vaksinasi,”

Khairy berkata demikian mengulas laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) supaya menangguhkan pelaksanaan pasport vaksin di Malaysia.

– MalaysiaGazette